Qatar beli 24 jet pejuang Typhoon dari Britain
Bernama
September 18, 2017 21:26 MYT
September 18, 2017 21:26 MYT
Qatar dan Britain menandatangani surat hasrat untuk membeli 24 jet pejuang Typhoon, lapor agensi berita China Xinhua memetik agensi berita Qatar (QNA) pada Isnin.
Surat itu ditandatangani pada Ahad di antara Menteri Pertahanan Qatar, Khalid Mohammed Al Attiyah dengan Setiausaha Pertahanan Britain, Michael Fallon.
Ia antara lain bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama dan sokongan bersama dalam bidang ketenteraan serta teknikal di antara kedua-dua negara.
Fallon berkata ia sekaligus menjadi perjanjian pertahanan utama yang pertama dengan Qatar sebagai rakan strategik Britain.
"Ia satu detik penting dalam hubungan pertahanan kedua-dua negara dan menjadi asas untuk mengadakan kerjasama pertahanan yang lebih erat lagi," katanya.
Selepas majlis menandatangani surat itu, kedua-dua pihak mengadakan mesyuarat membincangkan aspek kerjasama dalam bidang ketenteraan terutama memerangi keganasan serta isu serantau lain.
Pada 15 Jun, Qatar dan Amerika Syarikat menandatangani perjanjian pembelian jet pejuang F-15 dengan kos awal sebanyak US$12 bilion.
-- BERNAMA