Qatar akan bina hospital lapangan di Pakistan, bantu mangsa banjir

Bernama
September 3, 2022 04:06 MYT
Angka kematian terbaharu akibat hujan dan banjir kini mencecah 1,208, termasuk 416 kanak-kanak.- Gambar fail/REUTERS
NEW DELHI: Qatar akan menubuhkan hospital lapangan di Pakistan sebagai sebahagian usaha membantu mangsa banjir di negara itu.
Negara Teluk itu turut mengerahkan pasukan mencari dan menyelamat ke kawasan yang dilanda banjir, lapor Agensi Berita Qatar.
Hospital itu bakal dikendalikan 93 kakitangan dan sedang dibangunkan di wilayah Sindh, ciap Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif di Twitter pada Jumaat.
Sementara itu, dua pesawat kargo tentera C-17 Qatar membawa bantuan kemanusiaan mendarat di Karachi pada Jumaat.
Angka kematian terbaharu akibat hujan dan banjir kini mencecah 1,208, termasuk 416 kanak-kanak, manakala 6,082 lagi cedera, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) Pakistan.
-- BERNAMA
#Banjir pakistan #Qatar #bina hospital #mangsa banjir