Qantas, Virgin Australia larang penumpang guna Note 7 dalam pesawat

Agensi
September 8, 2016 15:55 MYT
Qantas dan Virgin Australia melarang penggunaan Not 7 dalam pesawatnya atas sebab-sebab keselamatan. - Gambar fail
Pesawat Qantas dan Virgin Australia pada Khamis melarang penumpangnya menggunakan atau mengecas telefon Samsung Galaxy Note 7 semasa dalam penerbangan susulan laporan mengenai model telefon pintar itu yang meletup.
Samsung pada minggu lalu menghentikan jualan telefon pintar terbaharu mereka dan memanggil semula bekalan 2.5 juta unit Note 7 di seluruh dunia berikutan insiden letupan yang telah mencalarkan reputasi syarikat itu.
“Susulan pemanggilan semula model Note 7 oleh Samsung Australia, kami meminta para penumpang yang memilikinya agar tidak menghidupkan atau mengecasnya di dalam pesawat,” ujar jurucakap Qantas dalam satu kenyataan.
Larangan itu berkuatkuasa kepada semua penerbangan domestik dan antarabangsa, termasuk pesawat tambang rendah Jetstar, kata jurucakap itu.
Pesaing domestik Qantas, Virgin Australia, juga mengeluarkan kenyataan yang serupa, sambil menambah pengumuman seumpamanya juga akan dibuat setiap kali sebelum pesawat berlepas.
Pada 2014, Qantas dan Virgin Australia membenarkan penumpang menggunakan peranti elektronik mudah alih dalam pesawat dengan peraturan larangan yang terbatas.
Peraturan sebelum ini hanya melarang penuh penggunaan gajet seumpamanya sewaktu pesawat sedang bergerak perlahan di lapangan terbang, ketika berlepas dan semasa hendak mendarat kerana dikhuatiri mengganggu sistem navigasi pesawat.
#insiden letupan #larangan penggunaan Note 7 #Note 7 #Qantas #Samsung #Virgin Australia
;