Pyongyang kutuk Sidang Kemuncak Korea Selatan-Jepun, dakwa buka laluan 'pakatan sulit tentera'

Bernama
Mei 10, 2023 14:57 MYT
Laman sesawang propaganda Korea Utara berkata: "pakatan sulit tentera antara Korea Selatan dan Jepun, sangat diinginkan oleh Amerika Syarikat. - Gambar/ Reuters
SEOUL: Korea Utara mengecam sidang kemuncak antara Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol dan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida melalui saluran propagandanya pada Rabu, dengan mendakwa ia membuka laluan kepada "pakatan sulit tentera" antara kedua-dua negara.
Yoon dan Kishida bertemu di Seoul pada Ahad, menandakan permulaan pemulihan hubungan dua hala yang sekian lama tegang berikutan isu-isu yang bermula semasa era penjajahan Jepun di Semenanjung Korea pada 1910-45, termasuk isu buruh paksa, lapor Agensi Berita Yonhap.
Dalam reaksi pertama Korea Utara terhadap sidang kemuncak itu, laman sesawang propaganda Uriminzokkiri berkata: "pakatan sulit tentera antara Korea Selatan dan Jepun, sangat diinginkan oleh Amerika Syarikat dan memasuki peringkat untuk ia dilaksanakan secara melulu."
Laman sesawang turut mengkritik kenyataan Yoon yang mencadangkan Jepun boleh mengambil bahagian dalam Deklarasi Washington.
Uriminzokkiri mendakwa dasar luar Yoon yang "pasif" memudahkan Jepun untuk menutup kekejaman masa lalunya dan menjadi lebih berani dari segi tuntutan kedaulatannya ke atas Dokdo, pulau paling timur di Korea Selatan selain rancangan Tokyo untuk melepaskan air tercemar dari loji tenaga nuklear Fukushima.
-- BERNAMA
#Korea Utara #Korea Selatan #sidang kemuncak #Jepun
;