Pyongyang beri amaran hentikan latihan ketenteraan bersama AS-Korea Selatan
Astro Awani
Julai 22, 2022 23:36 MYT
Julai 22, 2022 23:36 MYT
PYONGYANG: Korea Utara memberi amaran bahawa Amerika Syarikat dan Korea Selatan akan menghadapi cabaran keselamatan yang belum pernah berlaku sebelum ini jika tidak menghentikan kempen latihan ketenteraan bersama dua negara itu.
Pyongyang bertegas, mana-mana latihan ketenteraan antara kedua-dua negara dianggap sebagai latihan pencerobohan walaupun sekutu itu menegaskan, mereka tidak berniat untuk menyerang Korea Utara.
Amaran terbaharu itu disuarakan ketika Washington dan Seoul bersiap-sedia mengembangkan latihan ketenteraan musim panas mereka yang akan datang berikutan provokasi ujian peluru berpandu Korea Utara tahun ini.
Timbalan Pengarah Kanan Institut Perlucutan Senjata dan Keamanan, Kementerian Luar Korea Utara, Choe Jin berkata, latihan bersama itu juga akan membawa Semenanjung Korea ke ambang perang.
Malah, pegawai Amerika Syarikat dan Korea Selatan didakwa merancang untuk membincangkan penempatan aset strategik nuklear Amerika Syarikat bagi memulakan satu lagi latihan bersama yang akan dimulakan bulan depan.
Pada Mei lalu, Presiden, Joe Biden dan Presiden baharu Korea Selatan, Yoon Suk Yeol menimbang untuk memperluaskan latihan ketenteraan bersama bagi menghalang ancaman nuklear Korea Utara.