PUTING beliung tanpa henti yang melanda bahagian selatan dan barat tengah Amerika Syarikat (AS) telah meragut sekurang-kurangnya 18 nyawa.

Ribut berkenaan turut memusnahkan rumah dan pusat membeli-belah serta meruntuhkan bumbung sebuah bangunan di Illinois.

Angka korban terkini masih belum dikeluarkan anggota kecemasan seluruh wilayah selepas bencana puting beliung mendarat sehingga ke malam.

Ia adalah sebahagian daripada sistem ribut luas yang turut membawa kebakaran hutan ke kawasan di selatan dan keadaan ribut salji ke Upper Midwest.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) memaklumkan lebih 57 puting beliung dikesan dalam tempoh 24 jam lalu meliputi lapan negeri, termasuk Arkansas, Mississippi, Iowa, Tennessee, Illinois dan Wisconsin, lapor Agensi Anadolu.

Puting beliung berkenaan meragut tujuh nyawa di Tennessee, lima di Arkansas, tiga di Indiana, dan masing-masing seorang di Illinois, Mississippi dan Alabama.

Gabenor Arkansas Sarah Huckabee Sanders mengisytiharkan darurat di tengah-tengah amaran cuaca buruk.

NWS juga mengesahkan bahawa puting beliung yang melanda Little Rock, ibu kota Arkansas adalah EF3 "high-end" dengan angin maksimum dianggarkan pada kelajuan 265 kilometer sejam (164 batu sejam).

NWS mengeluarkan amaran ribut di Tennessee, Kentucky, Alabama, Mississippi, Illinois, Indiana dan Michigan.

Kira-kira 530,000 isi rumah terputus bekalan elektrik di sebahagian kawasan di AS, termasuk lebih 200,000 di Ohio, menurut 'PowerOutage.us', sebuah laman sesawang yang menjejaki gangguan bekalan elektrik.