Putin umum operasi tentera, ruang udara Ukraine dan barat Rusia ditutup

Agensi
Februari 24, 2022 15:36 MYT
Rakaman dari laman web FlightRadar yang menunjukkan ruang udara di Ukraine dan barat Rusia yang sudah dikosongkan, lantaran berisiko untuk dilalui penerbangan awam.
MOSCOW: Rusia mengumumkan penutupan ruang udaranya bagi sebarang pesawat awam, khususnya di sempadan barat dengan Ukraine dan Belarus, dan pada masa sama, Ukraine mengumumkan hal yang sama, lapor agensi berita Al-Jazeera.
Regulator penerbangan Eropah juga telah mengeluarkan amaran tentang risiko dan bahaya jika terbang di kawasan yang bersempadan dengan Rusia dan Belarus.
Langkah pada Khamis itu susulan Presiden Rusia Vladimir Putin mengumumkan operasi ketenteraan khas di wilayah Donbas.
"Penggunaan ruang udara di sempadan barat Rusia dengan Ukraine dan Belarus telah dihentikan sementara berikutan ancaman keselamatan pesawat awam, kerana penggunaan senjata dan jentera militari dikesan," menurut satu notis.
Krisis Ukraine-Rusia: Apa punca sebenar dan perkembangan terkini
Dalam satu kenyataan lain pada Khamis, Kementerian Pertahanan Rusia berkata, pihaknya menggunakan senjata dengan ketepatan tinggi yang boleh melumpuhkan sistem pertahanan udara, lapangan terbang tentera dan angkatan tentera di Ukraine.
Perkhidmatan Trafik Udara Ukraine di laman webnya memberitahu, ruang udara kini ditutup bagi laluan penerbangan awam bermula 12.45 tengah malam Khamis, dengan perkhidmatan sokongan yang dihentikan.
Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) pula berkata, ruang udara di Rusia dan Belarus dalam jarak 100 batu nautika dari sempadan Ukraine juga berisiko.
“Secara khususnya, terdapat risiko sasaran terancang mahupun kesilapan dalam menyasarkan penerbangan awam.
"Kehadiran dan kemungkinan penggunaan sistem tentera di darat dan di udara mencetus risiko tinggi bagi sebarang penerbangan awam yang berada di semua altitud," ujar agensi itu dalam berita tempatan.
#Rusia #Ukraine #tentera #ruang udara
;