Putin ucap terima kasih kepada Kim Jong Un atas sambutan mesra

Bernama
Jun 24, 2024 21:04 MYT
Putin berkata beliau berhasrat ingin meneruskan dialog yang konstruktif dan kerjasama sambil menambah bahawa pemimpin Korea Utara itu sentiasa dialu-alukan sebagai tetamu kehormat di Rusia. - Gambar fail/Reuters
MOSCOW: Presiden Rusia Vladimir Putin menerusi kiriman Telegram kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, menzahirkan penghargaan atas sambutan dan layanan mesra yang diterima semasa lawatannya ke negara itu baru-baru ini, lapor Sputnik.
"Saya ingin menyampaikan penghargaan kepada anda atas sambutan luar biasa dan layanan mesra kepada saya dan delegasi Rusia semasa kami berada di Korea Utara. Lawatan ini amat bermakna.
"Ia telah membawa hubungan antara Moscow dan Pyongyang ke tahap tinggi yang belum pernah dicapai menerusi perkongsian strategik komprehensif.
"Mulai sekarang, peluang baharu terbuka untuk kerjasama yang lebih bermanfaat antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang," kata Putin menerusi aplikasi Telegram yang diterbitkan oleh Kremlin.
Presiden itu berkata beliau berhasrat ingin meneruskan dialog yang konstruktif dan kerjasama sambil menambah bahawa pemimpin Korea Utara itu sentiasa dialu-alukan sebagai tetamu kehormat di Rusia.
Putin tiba di Pyongyang pada 18 Jun untuk lawatan dua hari dan kedua-dua pemimpin itu menandatangani perjanjian mengenai perkongsian strategik komprehensif.
Perjanjian itu termasuk ikrar untuk saling memberi bantuan ketenteraan dan lain-lain jika satu daripada negara itu diserang.
-- BERNAMA
#Vladimir Putin #Telegram #perkongsian strategik #bantuan ketenteraan
;