Putin tiba di Beijing untuk hadiri Forum BRI
Bernama
Oktober 17, 2023 14:52 MYT
Oktober 17, 2023 14:52 MYT
BEIJING: Presiden Rusia Vladimir Putin tiba di Beijing untuk menghadiri Forum Jalur dan Laluan (BRI) bagi Kerjasama Antarabangsa kali ketiga, lapor Sputnik.
Pada Isnin, Pejabat Presiden Rusia (Kremlin) mengumumkan bahawa Putin akan mengadakan lawatan rasmi ke China dari 17 hingga 18 Oktober.
Pemimpin Rusia itu dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden Xi Jinping untuk berbincang mengenai perkongsian komprehensif dan kerjasama strategik Rusia-China, selain isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Putin turut akan mengadakan beberapa mesyuarat dua hala dengan pemimpin dari negara-negara lain yang menyertai forum berkenaan.
Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov turut tiba di Beijing pada Isnin untuk mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya Wang Yi.
-- BERNAMA