Putin tiba di Beijing dalam usaha dapatkan sokongan China terhadap perang di Ukraine

Agensi
Mei 15, 2024 07:30 MYT
Vladimir Putin tiba di China pada Khamis (16 Mei) untuk bertemu "sahabatnya" Xi Jinping. - Gambar fail AP
BEIJING: Presiden Rusia, Vladimir Putin tiba di China pada Khamis (16 Mei) untuk bertemu "sahabatnya" Xi Jinping ketika beliau berusaha untuk memenangi sokongan lebih besar daripada Beijing dalam peperangan dengan Ukraine dan ekonomi terpencilnya.
Ia akan menjadi lawatan pertama Putin ke luar negara sejak pemilihan semula Mac lalu dan kali kedua dalam tempoh lebih enam bulan ke China yang dilihat sebagai satu talian hayat ekonomi bagi Rusia selepas Barat mengenakan sekatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini berhubung serangan tenteranya ke atas Ukraine.
Jinping yang baru pulang dari melakukan lawatan ke tiga negara Eropah minggu lalu menolak kritikan Barat terhadap hubungan Beijing dengan Moscow, menikmati import tenaga Rusia yang murah dan akses kepada sumber asli yang luas termasuk penghantaran gas yang stabil melalui saluran paip Power of Siberia.
Pada 2022, hubungan kedua-dua negara itu yang digambarkan oleh para pemimpin sebagai salah satu daripada "tiada had."
“Ini adalah lawatan pertama Putin selepas dilantik semula, oleh itu ia bertujuan untuk menunjukkan bahawa hubungan China-Rusia bergerak ke tahap yang lain,” kata penganalisis politik bebas Rusia, Konstantin Kalachev kepada AFP.
"Apatah lagi persahabatan peribadi yang nyata antara kedua-dua pemimpin itu."
"Tetapi apabila perkongsian ekonomi itu mendapat perhatian yang teliti di Barat, bank-bank China yang bimbang akan sekatan Amerika Syarikat (AS) yang mungkin memutuskan mereka daripada sistem kewangan global telah mula memberikan tekanan kepada perniagaan Rusia."
Kremlin pada minggu ini berkata, kedua-dua pemimpin akan membincangkan "perkongsian komprehensif dan kerjasama strategik" mereka serta "mendefinisikan bidang utama pembangunan kerjasama Rusia-China dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu antarabangsa dan serantau."
Putin, dalam temu bual yang diterbitkan dalam agensi berita negara Xinhua China menjelang lawatan dua harinya turut memuji "hasrat tulus " Beijing untuk membantu menyelesaikan krisis Ukraine.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, yang bertemu Jinping di Beijing bulan lalu, memberi amaran sokongan China terhadap "perang pencerobohan kejam" Rusia di Ukraine telah membantu Rusia meningkatkan pengeluaran roket, dron dan kereta kebal - sambil menghentikan eksport senjata.
China yang mendakwa sebagai parti neutral dalam konflik Ukraine dan Kementerian Luar di Beijing menegaskan, kedua-dua pemimpin itu akan bertukar pandangan mengenai "hubungan dua hala, kerjasama dalam pelbagai bidang dan isu antarabangsa dan serantau yang mempunyai kepentingan bersama."
Perdagangan antara China dan Rusia telah berkembang pesat sejak pencerobohan Ukraine dan mencecah AS$240 bilion pada 2023, menurut angka kastam China.
Tetapi selepas Washington berikrar untuk mengambil tindakan terhadap institusi kewangan yang memudahkan Moscow, eksport China ke Rusia merosot pada bulan Mac dan April, turun daripada lonjakan awal tahun.
Perintah eksekutif oleh Presiden AS, Joe Biden pada Disember membenarkan sekatan kedua ke atas bank asing yang berurusan dengan mesin perang Rusia, membolehkan Perbendaharaan AS memotong mereka daripada sistem kewangan global yang diterajui dolar.
Itu, ditambah dengan usaha baru-baru ini untuk membina semula hubungan yang retak dengan AS, mungkin membuatkan Beijing enggan untuk secara terbuka mendorong lebih banyak kerjasama dengan Rusia - walaupun apa yang Moscow mungkin inginkan, kata penganalisis.
Lapan orang dari kedua-dua negara yang terlibat dalam perdagangan rentas sempadan memberitahu AFP, sejak beberapa hari kebelakangan ini beberapa bank China telah menghentikan atau memperlahankan transaksi dengan pelanggan Rusia.
Menurut Alexander Gabuev, Pengarah Pusat Eurasia Carnegie Russia di Berlin, bank-bank itu "beroperasi berdasarkan prinsip lebih baik berhati-hati daripada menyesal, yang mengurangkan jumlah urus niaga."
"Mengetahui sama ada pembayaran itu berkaitan dengan kompleks industri ketenteraan Rusia... mencipta cabaran besar bagi syarikat dan bank China," katanya kepada AFP.
Lawatan pasca pilihan raya Putin ke Beijing mencerminkan lawatan Jinping sendiri ke Rusia selepas dilantik semula sebagai pemimpin tahun lalu.
Pakar menjangkakan mesyuarat yang sangat simbolik minggu ini akan menghasilkan perkongsian "tiada had" serta beberapa perjanjian yang ditandatangani dan ikrar untuk meningkatkan perdagangan.
Kedua-dua pemimpin bersedia untuk menandatangani deklarasi bersama berikutan rundingan itu, kata Kremlin, dan menghadiri sambutan 75 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Putin juga akan bertemu Perdana Menteri, Li Qiang iaitu pegawai pemerintah kedua tertinggi China selain berkunjung ke bandar timur laut Harbin untuk menghadiri ekspo perdagangan dan pelaburan. - AFP
#Vladimir Putin #Xi Jinping #lawatan rasmi Putin #konflik Rusia-Ukraine
;