Putin menang lagi untuk penggal ke-4

Agensi
Mac 18, 2018 06:24 MYT
Vladimir Putin menyampaikan ucapan pada satu perhimpunan dan konsert di Dataran Manezhnaya, Moscow, Russia, 18 Mac, 2018. REUTERS
Seperti dijangka, Vladimir Putin akan mengemudi Rusia untuk tempoh enam tahun lagi selepas memenangi pilihan raya Presiden Rusia pada Ahad.
Suruhanjaya Pilihanraya Rusia memaklumkan penyandang jawatan nombor satu itu mendapat lebih 73.9 peratus undi, selepas lebih 50 peratus undi selesai dikira.
Ini merupakan penggal keempat Putin sebagai presiden, selepas tiada calon utama lain mencabarnya dalam persaingan itu.
Jumlah undi diterima Putin juga meningkat, berbanding 64 peratus pada pilihan raya presiden 2012.
Calon utama parti pembangkang, Alexei Navalny diharamkan bertanding, meninggalkan hanya tujuh calon 'suam-suam kuku' lain mencabar Putin termasuk jutawan Pavel Grudinin, yang sekadar menerima 13.2 peratus, serta bekas hos rancangan realiti TV, Ksenia Sobchak.
Pilihan raya kali ini bagaimanapun turut dicemari dengan dakwaan penipuan.
Di beberapa pusat pengundian, wujud dakwaan pengundi tidak dibenarkan menunaikan tanggungjawab mereka.
Namun, dakwaan itu dinafikan Suruhanjaya Pilihanraya Rusia.
Pasukan kempen Putin menyifatkan kemenangan ini sebagai keputusan daripada kempen yang berkesan menawan hati pengundi.
Dengan kemenangan ini, Putin akan memerintah sehingga 2024.
Beliau sudah mendominasi politik Kremlin untuk tempoh 18 tahun dan merupakan pemimpin paling lama berkhidmat sejak era pemimpin Soviet, Joseph Stalin.
Pemerhati bagaimanapun menjangkakan Putin bakal mencari jalan untuk terus berkuasa, memandangkan sehingga kini, tiada pemimpin pelapis dilatih untuk menggantikan beliau.
#calon #pembangkang #pilihan raya #politik #presiden #Rusia #Vladimir Putin
;