Putin luluskan belanjawan persekutuan untuk 2025-2027
Bernama
Disember 1, 2024 21:00 MYT
Disember 1, 2024 21:00 MYT
MOSCOW: Presiden Rusia Vladimir Putin meluluskan belanjawan persekutuan bagi 2025 serta tempoh yang dirancang untuk 2026-2027, lapor Xinhua memetik dokumen yang diterbitkan di portal akta perundangan pada Ahad.
Pendapatan Rusia pada 2025 diunjurkan mencecah kira-kira 40.3 trilion rubel (US$378.5 bilion), manakala perbelanjaan dijangka melebihi 41 trilion rubel (US$390 bilion), menghasilkan defisit sebanyak 0.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), menurut belanjawan itu.
KDNK Rusia dijangka mencapai 214.5 trilion rubel (US$2.02 trilion) pada 2025, meningkat kepada 230.5 trilion rubel (US$2.17 trilion) pada 2026 dan 248.3 trilion rubel (US$2.33 trilion) pada 2027.
Inflasi diramalkan kekal di bawah 4.5 peratus pada 2025 dan empat peratus pada tahun-tahun berikutnya.
Keutamaan yang digariskan dalam belanjawan termasuk memenuhi tanggungjawab sosial, memastikan keselamatan dan pertahanan negara, memajukan kedaulatan teknologi dan membangunkan infrastruktur.
Sebanyak 21 trilion rubel (US$197.3 bilion) diperuntukkan untuk dasar sosial, 14 trilion rubel (US$131.5 bilion) untuk pertahanan dan penguatkuasaan undang-undang, serta 14 trilion rubel (US$131.5 bilion) untuk pembangunan ekonomi negara sepanjang tiga tahun akan datang.
-- BERNAMA