Putin hubungi Aliyev berhubung nahas pesawat Azerbaijan di Kazakhstan, mohon maaf

Bernama
Disember 28, 2024 23:34 MYT
Pada Rabu, pesawat Azerbaijan Airlines yang membawa 67 orang dari ibu negara Azerbaijan, Baku, ke Grozny terhempas berhampiran bandar Aktau, Kazakhstan, mengorbankan 38 orang manakala 29 terselamat. - Gambar fail/REUTERS
MOSCOW: Presiden Rusia Vladimir Putin pada Sabtu menghubungi Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev berkenaan kemalangan pesawat Azerbaijan Airlines di Kazakhstan minggu ini, menyampaikan permohonan maaf dan ucapan takziah, lapor Agensi Anadolu.

Ringkasan AI
  • Presiden Rusia Vladimir Putin menyampaikan ucapan takziah dan permohonan maaf kepada Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev atas insiden pesawat terhempas di Kazakhstan.
  • Pesawat Azerbaijan Airlines terhempas ketika sistem pertahanan udara Rusia bertindak balas terhadap serangan drone Ukraine, mengorbankan 38 nyawa.
  • Siasatan sedang dijalankan dengan kerjasama pihak Rusia, Azerbaijan, dan Kazakhstan untuk menyiasat punca kejadian.

"Vladimir Putin memohon maaf atas kejadian tragik yang berlaku di ruang udara Rusia dan sekali lagi menyampaikan ucapan takziah yang mendalam dan ikhlas kepada keluarga mangsa serta mengharapkan pemulihan segera kepada yang cedera," menurut kenyataan Kremlin.
Putin menegaskan bahawa pesawat penumpang Azerbaijan itu membuat beberapa percubaan untuk mendarat di bandar Grozny, Chechnya, pada ketika sistem pertahanan udara Rusia sedang bertindak balas terhadap serangan drone Ukraine.
Beliau memberitahu Aliyev bahawa Jawatankuasa Siasatan Rusia telah memulakan kes di bawah Perkara 263 Kanun Jenayah, yang meliputi pelanggaran keselamatan trafik udara dan peraturan operasi.
"Tindakan siasatan awal sedang dijalankan, dengan pakar awam dan tentera sedang dirujuk," tambah kenyataan itu.
Pada Rabu, pesawat Azerbaijan Airlines yang membawa 67 orang dari ibu negara Azerbaijan, Baku, ke Grozny terhempas berhampiran bandar Aktau, Kazakhstan, mengorbankan 38 orang manakala 29 terselamat.
Dua wakil dari Pejabat Pendakwa Raya Azerbaijan kini berada di Grozny, bekerjasama dengan pegawai Rusia dari Pejabat Pendakwa Raya dan Jawatankuasa Siasatan.
Pelbagai perkhidmatan dari Rusia, Azerbaijan dan Kazakhstan sedang menyelaras rapat di tapak kemalangan berhampiran Aktau untuk menguruskan kesan bencana itu.
-- BERNAMA
#Presiden Rusia Vladimir Putin #Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev #pesawat Azerbaijan Airlines #Kazakhstan #mohon maaf
;