Putin enggan ulas kehadiran tentera Korea Utara di Rusia
Luqman Hariz
Oktober 24, 2024 07:00 MYT
Oktober 24, 2024 07:00 MYT
KAZAN, RUSIA: Presiden Rusia, Vladimir Putin enggan menjelaskan kehadiran tentera Korea Utara di negaranya.
Ketika ditanya sama ada laporan itu sahih, Putin tidak mengesahkan mahupun menafikannya.
Sebelum ini, Amerika Syarikat (AS) menerbitkan gambar yang menunjukkan kehadiran tentera Korea Utara di negara itu.
AS mendakwa, Rusia sedang melatih tentera Korea Utara untuk dikerahkan ke medan perang di Ukraine.
“Gambar adalah satu benda yang serius. Jika ada gambar, maka ia mencerminkan sesuatu,” kata Putin.
Katanya, sebarang bentuk kerjasama ketenteraan dengan negara jirannya itu adalah hasil daripada perjanjian terbaharu yang dipersetujui oleh kedua-dua negara.
“Seperti yang anda tahu, perjanjian pertahanan strategik kami telah diratifikasi hari ini.
“Terdapat Artikel 4 di perjanjian itu, dan kami tidak pernah ragu-ragu kepimpinan Korea Utara mengambil serius perjanjian ini.
“Tapi apa yang kami lakukan (dengan perjanjian itu) dan bagaimana kami akan melakukannya, bergantung kepada kami,” tegas Presiden Rusia itu lagi.
Putin mendakwa, tenteranya sedang mara dengan lancar di Ukraine dan kini berjaya memerangkap sejumlah besar tentera Ukraine di daerah Kursk.
Perang Rusia-Ukraine tercetus apabila Putin mengarahkan tenteranya menyerang Ukraine pada Februari 2022.
Walaupun berjaya mara dengan pantas pada fasa awal, momentum Rusia menurun dalam bulan-bulan seterusnya menyebabkan barisan hadapan perang tersebut statik sejak setahun lepas.