Putin dakwa skandal doping bermotifkan politik

Astro Awani
Januari 30, 2018 04:37 MYT
Presiden Rusia Vladimir Putin berharap skandal doping yang mencalar imej Kremlin tidak lagi diperbesarkan. - Foto EPA
Presiden Rusia Vladimir Putin berharap skandal doping yang mencalar imej Kremlin tidak lagi diperbesarkan.
Sebaliknya Putin mendakwa skandal itu diperbesarkan atas sebab politik dengan menggunakan bukti-bukti yang meragukan.
Putin juga menggambarkan Rusia sebagai mangsa permainan politik yang direka untuk mencalar nama baik para atletnya.
"Saya berharap skandal ini akan berlalu, dan lebih penting ia perlu berlalu segera," kata Putin ketika bertemu penyokongnya menjelang pilihan raya presiden Mac depan.
Skandal doping Rusia menyaksikan 168 atletnya terpaksa bertanding di bawah bendera neutral pada temasya Sukan Olimpik Pyeongchang, di Korea Selatan.
Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) juga mengarahkan atlet Rusia supaya bertanding dengan memakai uniform tanpa sebarang simbol kebangsaan.
Mereka juga dilarang meraikan kemenangan dengan menggunakan bendera rasmi Rusia.
Putin juga menafikan pendedahan bekas Ketua Makmal Anti-Doping Rusia, Grigory Rodchenkov yang mendakwa menjalankan program doping rahsia selama beberapa tahun atas arahan kerajaan.
Sebaliknya, Putin mendakwa Rodchenkov sebagai saksi yang tidak boleh diharap dan wajar dipenjarakan.
#atlet #doping #Rusia #Skandal #Sukan Olimpik Pyeongchang #Vladimir Putin
;