Putin bercadang hadir ke Sidang Kemuncak G20 di Bali-Duta Besar Rusia
Bernama
Mac 24, 2022 23:30 MYT
Mac 24, 2022 23:30 MYT
JAKARTA: Presiden Rusia Vladimir Putin merancang untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Bali pada November, menurut laporan.
Media Indonesia memetik Duta Besar Rusia ke Indonesia Lyudmila Vorobieva sebagai berkata bahawa negaranya dijemput untuk hadir ke G20.
"Ia akan bergantung kepada banyak perkara, termasuk situasi COVID-19, yang semakin baik. Tetapi, setakat ini beliau berhasrat untuk... hadir," katanya.
Pertubuhan antarabangsa termasuk G20, Pertubuhan Perdagangan Dunia dan Pertubuhan Kastam Dunia cuba memecat negara itu, kata Vorobieva, sambil menambah bahawa langkah itu "sama sekali tidak wajar".
Mereka cuba memusnahkan keseluruhan sistem perdagangan dan logistik yang dibina dengan bersungguh-sungguh sejak beberapa dekad yang lalu," katanya.
Vorobieva menegaskan G20 adalah forum yang bertujuan memperbaiki keadaan ekonomi dan menyelesaikan masalah ekonomi, bukan forum untuk membincangkan atau menyelesaikan konflik bersenjata di Ukraine.
"Menyingkirkan Rusia daripada forum seperti itu tidak akan membantu menyelesaikan masalah ekonomi, sebaliknya, ia sukar dilakukan tanpa Rusia."
Serangan Rusia ke atas Ukraine yang bemula pada 24 Feb, mencetuskan kemarahan antarabangsa, dengan Kesatuan Eropah, AS dan UK melaksanakan sekatan kewangan ke atas Moscow.
-- BERNAMA