Putin arah kerajaan pertimbang daftar profil DNA individu terlibat operasi ketenteraan

Bernama
Februari 8, 2025 23:44 MYT
Putin arahkan kerajaan pertimbang pendaftaran genom wajib bagi anggota tentera serta orang awam yang terlibat dalam operasi ketenteraan khas. - Gambar fail/Anatoly Strebelev
MOSCOW: Presiden Rusia Vladimir Putin telah mengarahkan kerajaan untuk mempertimbangkan pelaksanaan pendaftaran genom wajib bagi anggota tentera serta orang awam yang terlibat dalam operasi ketenteraan khas, menurut dokumen yang diterbitkan pada Sabtu, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Kerajaan Persekutuan Rusia... hendaklah mempertimbangkan pelaksanaan pendaftaran genom negara secara mandatori bagi anggota tentera dan orang awam yang dikerahkan untuk melaksanakan tugas berkaitan operasi ketenteraan khas atau operasi antikeganasan," menurut dokumen itu.
Kerajaan, dengan kerjasama kementerian pertahanan, dalam negeri, kewangan dan kesihatan, bersama Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB), dana negara yang menyokong peserta operasi ketenteraan khas serta sebuah organisasi bukan untung berkaitan, akan mencadangkan pindaan undang-undang kepada parlimen jika perlu, selewat-lewatnya 1 Julai 2025.
Tugas ini dipertanggungjawabkan kepada Menteri Pertahanan Andrei Belousov, Menteri Dalam Negeri Vladimir Kolokoltsev, Menteri Kewangan Anton Siluanov, Menteri Kesihatan Mikhail Murashko, Pengarah Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Alexander Bortnikov, Timbalan Menteri Pertahanan Anna Tsivilyova serta Ketua Organisasi Bukan Untung Autonomi "Jawatankuasa Keluarga Pejuang Tanah Air," Yulia Belekhova.
-- BERNAMA
#Vladimir Putin #Rusia #pendaftaran DNA #operasi tentera
;