Putin adakan lawatan mengejut ke dua wilayah Ukraine dikawal Rusia

Bernama
April 19, 2023 03:30 MYT
Putin ketika mengadakan lawatan mengejut ke wilayah Luhansk dan Kherson di Ukraine. -Reuters
ISTANBUL: Presiden Rusia Vladimir Putin telah mengadakan lawatan mengejut ke wilayah Luhansk dan Kherson di Ukraine, menurut Kremlin pada Selasa.
Putin melawat ibu pejabat kumpulan tentera "Dnepr" untuk membincangkan situasi di wilayah Kherson dan Zaporizhzhia, menurut kenyataan Kremlin, lapor Agensi Anadolu.
Beliau juga mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan di ibu pejabat "Pengawal Kebangsaan Vostok" di Luhansk, menurut kenyataan itu.
September lalu, wilayah Donetsk dan Luhansk di Ukraine dan bahagian Zaporizhzhia dan Kherson yang dikawal Rusia telah mengadakan referendum untuk menyertai Rusia.
Moscow sejak itu mengisytiharkan mereka sebahagian daripada Rusia, satu langkah yang ditolak oleh Ukraine dan masyarakat antarabangsa.
-- BERNAMA
#Vladimir Putin #Luhansk dan Kherson #kumpulan tentera Dnepr #Kherson dan Zaporizhzhia