Puteri Wales Kate Middleton akan buat penampilan umum pertama tahun ini

Bernama
Jun 15, 2024 19:30 MYT
Penampilan umum Kate di acara Trooping akan menjadi penampilan rasmi pertamanya pada 2024 selepas beliau terlepas beberapa acara pada awal tahun ini. - Foto Reuters
LONDON: Puteri Wales, akan membuat penampilan umum pertamanya tahun ini dengan menyertai keluarganya di Trooping the Colour, satu perarakan tahunan tentera di London, lapor PA Media/dpa.
Kate Middleton yang menerima rawatan bagi sejenis kanser sejak akhir Februari akan menaiki pedati bersama tiga anaknya, Putera George, Puteri Charlottemdan Putera Louis, dalam perarakan pada Sabtu.
Selepas itu, beliau dijangka bersama-sama anggota kerabat diraja yang lain di balkoni Istana Buckingham.
"Saya tidak sabar untuk menghadiri Perarakan Hari Jadi Raja hujung minggu ini bersama keluarga dan berharap dapat menyertai beberapa acara awam sepanjang musim panas ini, tetapi pada masa yang sama mengetahui saya masih belum pulih sepenuhnya.
"Saya sedang belajar untuk bersabar, terutamanya dengan ketidakpastian," katanya.
Jurucakap Istana Buckingham berkata: "Baginda (Raja Charles III) gembira bahawa puteri dapat menghadiri acara esok dan sangat menantikan semua elemen pada hari itu".
Penampilan umum Kate di acara Trooping akan menjadi penampilan rasmi pertamanya pada 2024 selepas beliau terlepas beberapa acara pada awal tahun ini apabila dimasukkan ke hospital bagi menjalani pembedahan abdomen pada 16 Januari.
Pada ketika itu, keadaannya dianggap tidak berkaitan dengan kanser tetapi ujian selepas pembedahan berjaya mengesan penyakit tersebut.
Kate mendedahkan perkembangan itu menerusi video yang disiarkan pada Mac.
Tiada tempoh masa ditetapkan untuk Kate kembali melaksanakan tugasnya kerana beliau diberikan masa untuk pulih dan berehat sebelum kembali menjalankan tugas.
-- BERNAMA
#Puteri Wales #Kate Middleton #kemunculan pertama #Trooping the Colour #kanser #Raja Charles III #Istana Buckingham
;