Putera William lancar Earthshot Prize, hadiah misi pulih dunia

Razak Chik
Januari 1, 2020 00:13 MYT
Pelancaran 'The Earthshot Prize diumum oleh Sir David melalui video di media laman Instagram William dan Kate @kensingtonroyal.
JIKA anda sayangkan dunia dan punyai idea menyelamatkannya, mungkin rancangan anda bakal dipantau dan menarik perhatian Putera William, Duke of Cambridge, putera diraja England.
Sementara satu dunia sibuk bermain bunga api menyambut dekad baharu tahun 2020, William dan isterinya Kate bersama personaliti alam sekitar terkenal Sir David Attenborough mengambil inisiatif menyelamatkan dunia.
Pelancaran 'The Earthshot Prize’ diumum oleh Sir David melalui video di media laman Instagram William dan Kate @kensingtonroyal.
Mengikut Sir David, ganjaran yang ditawar merupakan hadiah alam sekitar paling berprestij dalam sejarah demi menggerakkan usaha memulihkan dunia yang mengalami pelbagai bahaya kerosakan untuk satu dekad ke hadapan.
Hadiah berjumlah berpuluh juta Pound Sterling ditawarkan kepada lima pemenang setiap tahun untuk jangka masa 10 tahun – bermula 2021.
Individu mahupun pertubuhan dijemput menggerakkan inisiatif yang bertujuan menyelesaikan masalah alam sekitar yang wujud hasil tangan manusia sendiri.
Penganjur mengambil inspirasi dari inisiatif 'Moonshot' yang diasaskan oleh bekas Presiden Amerika John F. Kennedy apabila menetapkan sasaran pada tahun 1961 untuk manusia menakluk bulan sebelum penghujung abad tahun 60-an.
Putera William memberi gambaran bahawa dunia berada dalam bahaya dan manusia hanya mempunyai satu pilihan: "Sama ada berterusan merosakkan alam sekitar atau memanfaatkan kepandaian, kepakaran, kesedaran untuk menyelesaikan masalah yang berpunca dari kelakuan manusia sendiri.”\
Hadiah 'Earthshot’ akan dilancar dengan rasmi pada tahun ini 2020 – tahun yang sama penganjuran Convention on Biodiversity akan diadakan di China pada Februari dan Climate Change Conference COP26 akan berlangsung di Glasgow pada November.
#Putera William #Sir David Attenborough #the Earthshot Prize
;