Putera William, Harry, imbas panggilan telefon terakhir dari Puteri Diana

Reuters
Julai 23, 2017 19:08 MYT
Awal tahun ini, William membuat pengakuan kematian Diana masih menghantui beliau dan Harry./REUTERS/Justin Tallis/Pool/Files
Putera William dan adiknya, Putera Harry, mengimbas semula kematian mengejut Puteri Diana, dalam satu dokumentari sempena ulang tahun ke-20 pemergian bonda mereka.
Dokumentari 90 minit bertajuk "Diana, Our Mother: Her Life and Legacy" itu diterbitkan sebagai penghargaan hidup dan kerja-kerja amal yang dilakukan Diana, menurut kenyataan Istana Kensington.
Diana terbunuh dalam kemalangan di Paris pada Ogos 1997 ketika William dan Harry masing-masing baru berusia 15 dan 12 tahun.
Dalam dokumentari itu, William, yang bakal menduduki takhta Britain selepas bapanya Putera Charles, dan Harry bercerita tentang zaman kanak-kanak mereka sambil memegang sebuah album gambar yang berisi banyak foto kenangan keluarga mereka yang dikumpul oleh Diana sendiri.
Antara kisah yang diimbas mereka adalah panggilan telefon terakhir dari Diana.
"Kami mahu cepat tamatkan perbualan kerana mahu pergi bermain.
"Kalaulah kami tahu apa yang akan berlaku, kami takkan buat begitu," kata William.
Awal tahun ini, William membuat pengakuan kematian Diana masih menghantui beliau dan Harry, dan Harry terpaksa melalui sesi kaunseling untuk menghilangkan kesedihan.
Dokumentari itu akan ditayangkan di UK di saluran ITV pada Isnin ini.
#keluarga diraja #Putera Harry #Putera William #Puteri Diana
;