Putera Mahkota Saudi sifatkan pembunuhan Khashoggi 'jenayah kejam'

Astro Awani
Oktober 24, 2018 05:48 MYT
Raja Jordan, Raja Abdullah II ibn Al Hussein (kiri) duduk bersama Putera Mohammed (kanan) semasa menghadiri persidangan pelaburan di Riyadh, Arab Saudi, 23 Okt, 2018. REUTERS
Putera Mahkota Mohammed Salman pada Rabu menyifatkan pembunuhan wartawan kelahiran Arab Saudi, Jamal Khashoggi, sebagai "jenayah kejam yang tidak boleh diterima".
Ini merupakan kenyataan pertama baginda mengenai pembunuhan Khashoggi yang dipercayai berlaku di bangunan konsulat Saudi di Istanbul itu, susulan pertemuan beliau dengan keluarga Allahyarham pada Selasa.
"Pertama sekali, insiden yang berlaku sangat perit bagi semua warga Arab Saudi, terutama sekali kerana saya sendiri adalah rakyat Arab Saudi.
"Dan, saya rasa, ia sesuatu yang perit bagi seluruh dunia. Ia satu jenayah kejam yang tidak boleh diterima," katanya pada satu persidangan para pelabur di sini.
Penampilannya bersama pemimpin Arab lain pada sidang itu telah dibayangi oleh kes membabitkan kolumnis Washington Post berusia 59 tahun itu.
Ramai pemimpin antarabangsa telah menarik diri daripada menyertai sidang kemuncak tersebut, termasuk wakil dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Belanda dan Perancis.
Khashoggi, yang hidup dalam buangan di Virginia, Amerika Syarikat, sejak 2017, dibunuh ketika beliau berkunjung ke konsulat Saudi untuk menguruskan dokumen perkahwinannya pada 2 Oktober lalu.
Mohammed berkata, kerajaan Arab Saudi telah mengambil semua langkah undang-undang untuk menyiasat dan menyelesaikan kes tersebut bersama dengan kerajaan Turki.
"Ia bagi membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan, dan menerima hukuman sewajarnya.
"Ini adalah prosedur yang diperlukan dari mana-mana kerajaan apabila berlakunya kejadian seperti ini.
"Tidak syak lagi, kerjasama antara kerajaan Saudi dan Turki adalah unik, dan saya tahu ada yang cuba mengambil kesempatan kejadian ini untuk memecahbelahkan kerajaan Arab Saudi dan Turki.
"Dengan ini, saya ingin mengatakan, objektif anda tidak akan tercapai selagi ada seorang Raja bernama Salman Abdulaziz," tambahnya.
#Amerika Syarikat #Arab Saudi #Istanbul #Jamal Khashoggi #jenayah #Mohammed Salman #Turki #undang-undang
;