Putera Mahkota Mohammed terima menghadap Anwar

Bernama
Oktober 21, 2023 22:00 MYT
Pertemuan rasmi empat mata itu adalah atas jemputan peribadi baginda kepada Anwar. - Bernama
RIYADH: Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Al-Yamamah di sini pada Sabtu.
Pertemuan rasmi empat mata itu adalah atas jemputan peribadi baginda kepada Anwar, selepas Arab Saudi menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di ibu negara ini pada Jumaat.
Putera Mahkota Mohammed dan Anwar membincangkan mengenai perang Palestin dan Israel yang berlanjutan sehingga kini setelah tercetus semula pada 7 Okt.
Pada sidang kemuncak itu, Putera Mahkota dan Anwar senada dalam membangkitkan kebimbangan mereka berhubung kezaliman dan penindasan Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza.
Pada pertemuan hari ini, kedua-dua pemimpin berkenaan turut membincangkan beberapa isu berkaitan kepentingan bersama termasuk peluang pembangunan kedua-dua negara.
Selain menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC, lawatan kerja dua hari Anwar yang juga Menteri Kewangan menyaksi beliau meneruskan perbincangan bagi mempertingkatkan hubungan dua hala serta ekonomi antara Malaysia dan Arab Saudi.
Pada 5 Okt lepas, Anwar menerima panggilan telefon daripada Putera Mahkota Mohammed yang menjemput beliau untuk mengadakan lawatan ke Arab Saudi.
Kemudian, Putera Mahkota Mohammed berkenan mengetuai Jemaah Menteri Arab Saudi untuk bertemu delegasi Malaysia yang diketuai Anwar termasuk Tengku Zafrul dan Zambry sebelum mereka dijemput menghadiri majlis santapan bersama baginda.
Anwar berkata Malaysia dan Arab Saudi sepakat agar tumpuan serius diberikan juga kepada kerjasama meningkatkan pelaburan dalam pelbagai bidang merangkumi pendidikan, pelancongan, teknologi maklumat serta teknologi tinggi seperti tenaga hijau di Arab Saudi.
Mengenai Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang berakhir pada Jumaat, Perdana Menteri berkata, blok Asia Tenggara menjadi ikhtiar baharu bagi GCC untuk memacu pertumbuhan tinggi di rantau itu.
"Sinergi antara dua rantau itu tanpa campur tangan negara besar akan memberi kita peluang kerjasama dalam beberapa bidang termasuk tenaga hijau yang selaras dengan pelan perindustrian negara," kata beliau.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Putera Mahkota #Mohammed Salman #Arab Saudi
;