Putera Mahkota Arab Saudi tekankan kepentingan hentikan serangan Israel
Bernama
Januari 9, 2024 14:18 MYT
Januari 9, 2024 14:18 MYT
ISTANBUL: Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman menekankan kepentingan untuk menghentikan serangan Israel ke atas Gaza dalam perbincangan baginda dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken pada Isnin.
Baginda menerima menghadap Blinken di bandar Al-Ula di barat laut Arab Saudi, lapor Agensi Anadolu memetik Saudi Press Agency (SPA).
Putera Mahkota bertitah mengenai kepentingan untuk memperhebat usaha kemanusiaan untuk rakyat Palestin di Gaza dan berusaha mewujudkan keadaan untuk keselamatan dan kestabilan.
Baginda juga menekankan kepentingan "proses damai yang memastikan rakyat Palestin mendapat hak mereka yang sah dan mencapai keamanan yang adil dan berkekalan", menurut Anadolu.
Menurut Jabatan Negara AS Blinken sedang dalam rangka lawatan rasmi ke Asia Barat sehingga 11 Jan ini. Lawatan beliau termasuk ke Turkiye, Greece, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Israel, Tebing Barat dan Mesir.
Lawatan Blinken itu dilakukan ketika tentera Israel menyerang Gaza secara berterusan sejak 7 Okt lepas, mengakibatkan pembunuhan sekurang-kurangnya 23,084 rakyat Palestin dan mencederakan 58,926 yang lain.
Serangan Israel telah menyebabkan Gaza hancur dengan 60 peratus infrastruktur wilayah itu rosak atau musnah dan hampir dua juta penduduk hilang tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.
-- BERNAMA
#putera mahkota arab saudi
#Mohammed bin Salman
#perang Palestin Israel
#setiausaha negara Amerika Syarikat
#Antony Blinken