Putera Harry, Meghan tidak mahu guna duit rakyat, bakal jana pendapatan sendiri

Agensi
Januari 14, 2020 11:16 MYT
Putera Harry dan Meghan akan menandatangani perjanjian keselamatan mereka menggunakan wang mereka sendiri. Instagram @sussexroyal
PASANGAN diraja Britain, Putera Harry dan Meghan Markle, dikhabarkan bakal menjana pendapatan dan mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi membiayai kos keselamatan mereka, sebaik sahaja keputusan untuk keluar daripada barisan keluarga diraja British dimuktamadkan.
Lapor The Sun, Putera Harry, 35 tahun, dan Meghan, 38 tahun, tidak mahu mengharapkan dompet orang awam untuk terus membiayai kehidupan mereka setelah mereka berundur dari keluarga diraja itu.
BACA: Bahana #Megxit, patung Harry, Meghan di Madame Tussauds 'hilang'
Kedua-dua mereka mengakui sedar akan keputusan mereka dan tidak akan menerima sebarang pendapatan dari Geran Kedaulatan (Sovereign Grant), iaitu wang yang diperoleh Ratu Elizabeth menerusi pembayaran cukai rakyat setiap tahun.
“Pasangan itu akan menandatangani perjanjian keselamatan mereka menggunakan wang mereka sendiri.
“Kos keselamatan Putera Harry dan Meghan yang dijaga oleh Perintah Diraja dan Perlindungan Scotland Yard dianggarkan bernilai RM2.71 juta (£600,000),” kata sumber kepada The Sun.
Awal minggu lalu, berita mengenai pasangan itu berhasrat untuk meninggalkan keluarga diraja itu mengejutkan ramai pihak seluruh dunia, terutamanya rakyat Britain.
Perancangan untuk melepaskan jawatan sebagai Duke dan Duchess of Sussex itu diumumkan secara rasmi menerusi laman web diraja, Sussex Royal.
Dalam satu kenyataan, pasangan itu menegaskan keputusan itu diambil sebagai usaha untuk bebas dari segi kewangan dari monarki Britain.
“Kami berputus untuk membuat perubahan tahun ini, untuk membentuk peranan baharu yang lebih progresif dalam institusi tersebut.
"Namun, kami masih memberi sokongan kepada Ratu Elizabeth II," menurut kenyataan, pada Khamis.
Bagaimanapun, beberapa pihak mendakwa pasangan itu masih mempunyai perlindungan keselamatan diraja memandangkan status mereka diletakkan sebagai "individu yang dilindungi antarabangsa".
Pasangan itu juga dijangka bakal menjana sumber kewangan mereka sendiri menerusi aktiviti komersial dan kerja-kerja amal.
#Britain #cukai #Duchess of Sussex #Duke of Sussex #Instagram #keluarga diraja #Keluarga DiRaja Britain #keselamatan #London #Meghan Markle #pendapatan #perjanjian #perlindungan #Putera Harry #Ratu Elizabeth #sumber kewangan #United Kingdom
;