Putera Harry kembali ke UK untuk berada di sisi Raja Charles III
Agensi
Februari 6, 2024 07:30 MYT
Februari 6, 2024 07:30 MYT
LONDON: Putera Harry dilaporkan pulang ke United Kingdom (UK) untuk berada di sisi ayahandanya, selepas pengumuman mengejutkan dari Istana Buckingham bahawa Raja England, Raja Charles III menghidap kanser.
Putera kedua Raja Charles III itu yang tiba di London pada Selasa dari California, Amerika Syarikat (AS) terlibat dalam pertelingkahan keluarga diraja sejak dia dan isterinya, Meghan Markle yang juga Duchess of Sussex, berundur daripada tugas diraja.
Beliau yang terbang dari Los Angeles ke London mendarat semalam sekitar pukul 12.30 tengah hari, lapor media British.
Kepulangan Putera Harry telah mencetuskan spekulasi tentang perdamaian dengan keluarganya, selepas bertahun-tahun terpisah.
Bagaimanapun, sumber diraja berkata, tidak ada rancangan untuk Putera Harry bertemu abangnya Putera William semasa dia berada di London.
Raja Charles III, 75, baru-baru ini didiagnosis semasa dirawat secara berasingan kerana pembesaran prostat.
Sumber diraja memberitahu CNN, kanser yang dikesan bukanlah kanser prostat, namun enggan berkongsi lanjut.
Walaupun keadaan kesihatan Raja Charles III mengejutkan negara, Raja British difahamkan telah memanggil Putera Harry pulang sebelum istana mengeluarkan pengumuman rasmi.
Putera William serta adik-beradik Raja Charles III iaitu Puteri Anne, Putera Edward dan Putera Andrew juga dimaklumkan berita duka itu secara peribadi.
Bagaimanapun, kelibat isteri Putera Harry, Meghan dan dua anak mereka, Putera Archie dan Puteri Lilibet tidak kelihatan kembali ke UK.
Putera Harry dan keluarganya berhijrah ke AS elepas meninggalkan tugas diraja pada tahun 2020 dan beliau juga melawat UK beberapa kali pada tahun lepas.
Tidak jelas di mana Putera Harry akan tinggal semasa berada di Britain.
Hubungan Putera Harry dengan keluarganya telah renggang sejak dia dan Meghan berundur pada 2020 sejurus selepas mereka berpindah ke California.
Pasangan itu turut mencetus kontroversi apabila memberikan wawancara eksklusif kepada personaliti tersohor dunia, Oprah Winfrey yang membuka rahsia dalam keluarga diraja termasuk isu perkauman diraja.
Kedinginan hubungan keluarga diraja itu tambah berganda selepas Netflix menerbitkan enam sisi dokumentari pasangan itu.
Keadaan bertambah buruk selepas Putera Harry membuat pendedahan mengejutkan dalam biografi peribadinya, Spare dengan mendakwa, beliau pernah diserang secara fizikal oleh abangnya, Putera William.
Sekalipun keluarga diraja British merupakan sebuah institusi, namun, mereka juga sebuah keluarga biasa.
Kali terakhir pasangan itu bersatu semula ialah ketika Raja Charles III pada Mei tahun lalu. - Agensi