Putera Harry kalah dalam usaha cabar kerajaan UK dapatkan kawalan keselamatan
Agensi
Mei 23, 2023 05:15 MYT
Mei 23, 2023 05:15 MYT
LONDON: Putera Harry kalah dalam usahanya untuk mencabar kerajaan United Kingdom (UK) berhubung kawalan keselamatannya ketika berada di negara itu.
Menurut keputusan yang diterbitkan pada Selasa, Harry dan isterinya, Meghan Markle kehilangan perlindungan keselamatan yang dibayar pembayar cukai UK susulan pengundurannya daripada tugas-tugas diraja pada tahun 2020 dan berpindah ke Amerika Utara.
Pasangan itu mempunyai pasukan keselamatan peribadi mereka sendiri di Amerika Syarikat (AS), namun, Harry berkata, mereka tidak mempunyai bidang kuasa yang mencukupi atau akses kepada perisikan UK untuk memastikan keluarganya selamat ketika berada di UK.
Putera Harry yang juga dikenali dengan panggilan rasmi Duke of Sussex meminta semakan undang-undang terhadap keputusan yang menolak kebenarannya untuk membayar sendiri keselamatan UK.
Peguam bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhujah bahawa adalah 'tidak wajar' bagi orang kaya untuk 'membeli' keselamatan perlindungan apabila ia memutuskan bahawa ianya bukan untuk kepentingan awam untuk perlindungan sedemikian dibayar oleh pembayar cukai.
Polis Metropolitan London juga menentang tawaran Harry atas alasan bahawa adalah salah untuk 'menempatkan pegawai dalam bahaya apabila dibayar yuran oleh individu persendirian'.
Dalam keputusan itu, Hakim Mahkamah Tinggi London, Martin Chamberlain menyokong keputusan KDN dan polis serta menolak kebenaran Harry untuk mencabarnya di mahkamah.
"Saya menolak kebenaran untuk memohon semakan kehakiman," katanya dalam penghakiman bertulis.
Harry juga terbabit dalam perbicaraan berasingan di mahkamah yang sama terhadap penerbit tabloid Mirror Group Newspapers (MGN) atas dakwaan pengumpulan maklumat yang menyalahi undang-undang.
Putera diraja itu dijangka memberi keterangan pada perbicaraan itu pada Jun. - AFP