Putera Harry, Elton John saman Daily Mail
Faida Rahim
Oktober 7, 2022 14:10 MYT
Oktober 7, 2022 14:10 MYT
LONDON: Putera Harry, penyanyi Elton John dan beberapa individu berpengaruh lain memfailkan saman undang-undang terhadap penerbit akhbar Daily Mail atas dakwaan pelanggaran privasi.
Individu lain yang turut serta dalam kes saman terhadap Daily Mail antaranya pelakon Elizabeth Hurley dan Sadie Frost, suami kepada penyanyi Elton John yang juga produser filem, David Furnish, dan Doreen Lawrence, iaitu ibu kepada remaja kulit hitam Stephen Lawrence yang dibunuh dalam serangan perkauman pada tahun 1993.
Tambah wakil firma guaman, Hamlins, kesemua individu memiliki bukti yang "sangat menyedihkan" sekali gus mendedahkan mereka menjadi mangsa pelanggaran privasi oleh akhbar Daily Mail.
Pelanggaran termasuk meletakkan alat pendengaran di dalam kereta dan rumah, menganggu secara langsung, menceroboh panggilan telefon peribadi, mengupah pegawai polis untuk maklumat sensitif dan menyamar sebagai individu rapat untuk mendapatkan rekod perubatan.
Dalam pada itu, mereka kini bersatu untuk menegakkan kebenaran dan meminta wartawan bertanggungjawab sepenuhnya memandangkan kebanyakan mereka masih memegang jawatan penting sehingga kini.
Firma guaman Hamlins .mewakili Putera Harry dan Frost manakala Lawrence, Hurley, John dan Furnish diwakili oleh firma guaman Gunnercooke.
Sementara itu, penerbit bersekutu Daily Mail, akhbar The Mail setiap Ahad dan The Mail Online yang merupakan akhbar berita yang memiliki pembaca tertinggi di dunia menafikan dakwaan berkenaan.
“Dakwaan itu sama sekali tidak masuk akal dan fitnah belaka dan dilihat sebagai rancangan cubaan untuk mengheret tajuk akhbar kami ke dalam isu skandal godam telefon dalam tempoh 30 tahun lalu.
"Tuntutan sama sekali tidak berasas dan sangat memfitnah kerana tiada bukti boleh dipercayai. Nampaknya hanya ekspedisi memancing oleh pihak sana menuntut yang mana sebahagiannya untuk meneruskan kes tuntutan di tempat lain,” kata jurucakap penerbit Daily Mail.