Putera Harry dan Meghan Markle sambut kelahiran anak lelaki
Nailah Huda
Mei 6, 2019 21:57 MYT
Mei 6, 2019 21:57 MYT
DUCHESS of Sussex, Meghan Markle selamat melahirkan bayi lelaki pada awal pagi Isnin waktu tempatan.
Perkara itu didedahkan menerusi muat naik ke akaun Instagram yang dikongsi suaminya Putera Harry, serta Twitter rasmi keluarga diraja Britain, @RoyalFamily.
Mereka meraikan kelahiran anak pertama tersebut yang beratnya 3.2 kilogram, menurut muat naik tersebut.
Mereka turut mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang saling berkongsi keterujaan dan sokongan bersama pasangan itu.
Cahaya mata kepada Putera Harry dan isteri, Meghan Markle bakal menjadi ketujuh dalam barisan untuk mewarisi takhta, di belakang Putera Wales, Duke of Cambridge, anak-anaknya - Putera George, Puteri Charlotte dan Putera Louis, diikuti oleh Duke of Sussex.
Pasangan tersebut mengumumkan kehamilan anak pertama itu pada 15 Oktober 2018, iaitu hari pertama dalam jelajah diraja di Australia dan New Zealand.
Sesetengah pihak menjangka Meghan telah memilih untuk bersalin di rumah secara peribadi dan tersembunyi daripada perhatian orang ramai di hospital.
Ratu Elizabeth II, iaitu nenek kepada Putera Harry, turut melahirkan kesemua anaknya di rumah manakala Putera William dan isterinya, Kate memilih untuk bersalin di hospital di tengah kota London.
Namun, bayi itu tidak semestinya bakal mendapat gelaran putera atau puteri.
Satu peraturan yang diarahkan oleh Raja George V pada 1917 menghadkan jumlah gelaran diraja yang diberi, lalu mungkin menyebabkan anak Harry dan Meghan itu tidak dikenali sebagai putera atau puteri, dan sebaliknya sebagai ‘Lord’ atau ‘Lady’.
Keputusan itu boleh ditentukan oleh Ratu Elizabeth II, yang mula campur tangan apabila William dan Kate melahirkan anak dan menentukan kesemua anak mereka akan menjadi putera dan puteri.
#Kate Middleton
#London
#Meghan Markle
#Prince Harry
#Prince William
#Putera Harry
#Ratu Elizabeth
#United Kingdom