Putera Arab Saudi jual rumah agam bernilai RM1.34 bilion di London

Agensi
Mac 9, 2023 07:40 MYT
Rumah agam 40 bilik The Holme atau lebih dikenali sebagai Istana London milik Putera Khaled bin Sultan al-Saud dari Arab Saudi dibuka untuk jualan pada harga 250 juta Pound (RM1.34 bilion). - Gambar Twitter/@runnorthheights
APABILA Putera Khaled bin Sultan al-Saud dari Arab Saudi membeli sebuah pesawat peribadi pada 2016, penasihat kewangan beliau menyenaraikan aset dan kekayaan keluarganya iaitu sebuah rumah agam 40 bilik atau lebih dikenali sebagai ‘Istana London’ sebagai pajakan.
Kediaman mewah berusia 205 tahun di Regent Park atau lebih dikenali sebagai The Holme itu kini telah dibuka untuk dijual pada harga 250 juta Pound (RM1.34 bilion) sekali gus menjadikan premis itu sebagai kediaman paling mewah yang dijual di ibu negara Britain itu.
Portal Financial Review melaporkan, penjualan rumah agam Putera Khaled itu sekali gus memberi petanda tekanan yang sedang dihadapi oleh kerabat diraja Arab Saudi susulan tindakan Putera Mahkota Mohammed bin Salmah yang melaksanakan pemotongan perbelanjaan negara khususnya dalam kalangan kerabat terutamanya mereka yang tidak begitu rapat dengan baginda.
Sumber yang rapat dengan keluarga diraja Arab Sudi berkata, Putera Khaled kini dilaporkan berhadapan dengan masalah kewangan.
“Hanya sejumlah wang yang boleh dibelanjakan. Jika anda mempunyai aset di London, kenapa tidak dijual sahaja,” kata sumber itu lagi.
Rumah agam The Holme yang bakal dijual itu digambarkan sebagai mini Istana Buckingham oleh ejen hartanah dan terletak di tanah seluas 1.6 hektar.
Dilaporkan Putera Khaled juga membelanjakan AS$43 juta (RM194 juta) semata-mata untuk mendapatkan pajakan yang lebih lama pada 1991.
#putera Arab Saudi #Putera Khaled bin Sultan al-Saud #rumah agam #The Holme
;