Putera Andrew naik angin, petugas istana jadi mangsa

Agensi
Januari 30, 2022 13:29 MYT
Andrew semakin kerap naik angin kebelakangan ini dan ramai petugas istana menjadi mangsanya. - Gambar REUTERS
PUTERA Andrew dilaporkan naik berang dengan tukang kebun di Istana Windsor, hanya beberapa hari selepas dia menerima saman sivil kerana serangan seksual.
Anak lelaki kedua Ratu Elizabeth itu dikatakan 'menjerit' selepas tukang kebun wanita itu tersalah potong beberapa batang anak pokok.
Sumber dalaman istana berkata, tindakan tersebut agak keterlaluan kerana ia bukan kesilapan besar.
Sumber itu juga mendedahkan Andrew semakin kerap naik angin kebelakangan ini dan ramai petugas menjadi mangsanya.
"Andrew berada di bawah tekanan tetapi ia bukan alasan untuk memarahi kakitangan yang menjalankan tugas mereka," kata sumber itu seperti dipetik Daily Mail.
Tukang kebun tersebut merupakan sebahagian daripada pasukan yang baru diambil bekerja pada Oktober.
Saman sivil itu diserahkan kepada Andrew oleh Virginia Giuffre, mangsa pemerdagangan Jeffrey Epstein dan Ghislaine Maxwell, yang juga rakan Andrew.
Giuffre, 38, menuduh Duke of York itu melakukan serangan seksual terhadap dirinya ketika dia berusia 17 tahun.
Wanita itu mendakwa bahawa dia diserahkan kepada putera berkenaan oleh Jeffrey Epstein.
#Putera Andrew #saman #Istana Windsor #Duke of York
;