Putera Albert dari Monaco positif COVID-19
Agensi
Mac 19, 2020 00:08 MYT
Mac 19, 2020 00:08 MYT
Putera Albert dari Monaco telah disahkan positif jangkitan COVID-19, lapor Reuters, berdasarkan kenyataan rasmi istana negara itu.
Khabar itu diumumkan selepas lebih 24 jam Albert II membentangkan langkah-langkah pencegahan utama, seiring dengan usaha pihak berkuasa mengekang penularan pandemik itu.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, Istana Monaco memberitahu bahawa tahap kesihatan Albert, 62 tahun, bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan.
Sebaliknya, beliau akan meneruskan tugas dari apartmennya sementara menjalani sesi kuarantin, dan akan dirawat oleh pasukan doktor dari Hospital Princess Grace.
Dua hari lalu, Putera Albert mengumumkan larangan terhadap acara keramaian dan juga mengehadkan perjalanan, selain untuk tujuan rawatan kesihatan dan pembelian makanan.
“Cara untuk keluar dari krisis ini bergantung kepada kemampuan anda untuk patuh pada semua langkah yang dikenakan,” ujar Albert pada rakyatnya.
Penganjuran Grand Prix Monaco juga akan ditunda berikutan penularan wabak tersebut.
Sehingga kini, negara kota itu mencatatkan sembilan kes positif COVID-19.