Pusat undi ditutup, lebih 2 juta keluar mengundi dalam PRU Singapura

Hamzah Hamid
September 11, 2015 20:58 MYT
Parti pemerintah, PAP, berdepan persaingan sengit di setiap kerusi dalam PRU Singapura kali ini. - Gambar fail
Sejumlah 2,085,676 warga Singapura yang layak mengundi telah memilih calon pilihan mereka menjelang jam 5 petang Jumaat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) republik tersebut.
Tempoh pembuangan undi dari jam 8 pagi hingga 8 malam itu berjalan lancar walaupun negara tersebut turut mendapat tempias bencana jerebu yang melanda negara-negara serantau.
Portal berita ChannelNewsAsia.com melaporkan para pengundi mula berbaris di pusat-pusat pengundian seawal jam 7.30 pagi untuk menjalankan tanggungjawab mereka.
Secara keseluruhannya, sejumlah 2.46 juta pengundi di negara bandaraya itu layak untuk membuang undi dalam PRU Ke-12 selepas mendapat status merdeka pada tahun 1965.
PRU tersebut menyaksikan pertandingan di setiap kerusi.
Perdana Menteri merangkap Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP) Lee Hsien Loong dan isterinya, Ho Ching, telah membuang undi di Sekolah Rendah Alexandra di Tanjong Pagar.
Tanjong Pagar yang merupakan kubu kuat PAP sejak tahun pentadbiran pengasas Singapura, mendiang Lee Kuan Yew, yang meninggal dunia pada Mac lalu, turut berdepan persaingan.
Sejumlah 4,868 warga Singapura di luar negara juga layak untuk mengundi dan mereka perlu berbuat demikian sebelum Khamis, 10 September.
Setakat ini semua pusat pengundian telah ditutup dan keputusan keseluruhan dijangka diperoleh sebelum tengah malam ini.
#Lee Hsien Loong #PAP #pengundi #pilihan raya umum #PRU #Singapura
;