Pusat strategik wilayah diduduki disasar, 90 peratus misil kena sasaran - IRGC

Bernama
Oktober 2, 2024 08:15 MYT
Pasukan penyelamat Israel memeriska kawasan yang menjadi sasaran serangan Iran. - Foto REUTERS
TEHRAN: Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengumumkan bahawa pihaknya menyasarkan pusat strategik di dalam wilayah yang diduduki "dengan peluru berpandu yang dibuat oleh anak-anak Iran."
Ini adalah pengumuman kedua IRGC selepas serangan misil ke atas rejim Zionis, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Menurut laporan itu, beberapa pangkalan tentera udara dan radar telah disasarkan dalam operasi berkenaan.
IRGC menegaskan walaupun kawasan itu dilindungi oleh sistem pertahanan yang paling canggih dan berskala besar, 90 peratus daripada peluru berpandu berjaya mengenai sasaran, dan rejim Zionis takut dengan perisikan dan penguasaan operasi Republik Islam.
Operasi itu dilakukan dalam rangka hak pertahanan yang sah dan berdasarkan undang-undang antarabangsa, dan sebarang kebodohan musuh akan dijawab dengan cara yang merosakkan dan dikesali.
IRGC menyatakan bahawa pangkalan yang diserang adalah "pusat konspirasi dan perancangan pembunuhan terhadap Dr Ismail Haniyeh dan pemimpin Hizbullah di Lubnan, Sayyed Hassan Nasrallah serta komander tentera Hizbullah, kumpulan Palestin dan komander Pengawal Revolusi."
Sebelum ini dilaporkan bahawa Iran mula bertindak balas terhadap Israel dengan melancarkan peluru berpandu balistik ke atas kawasan Palestin yang diduduki rejim Zionis pada Selasa malam.
-- BERNAMA
#IRGC #Iran #Israel #terkini
;