Pusat pemulihan khas di New York merawat banyak pesakit berkepak
Agensi
Jun 19, 2017 14:57 MYT
Jun 19, 2017 14:57 MYT
Olivia Snarski terjumpa seekor burung yang patah tulang dan 'terbaring mengadap dinding ketika dia sedang membersihkan pangsapuri rakannya yang baru meninggal dunia.
Snarski segera mendapatkan bantuan untuk menyelamatkan burung jalak itu, yang dinamakan Kash sebagai penghormatan kepada nama rakannya.
Jauh dari kawasan Queens di bandar raya New York, tempat Snarski menyelamatkan burung itu, dia mengetahui tentang sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan - The Wild Bird Fund.
The Wild Bird Fund yang terletak tidak jauh dari Central Park itu, bertempat di tingkat bawah sebuah bangunan di Upper West Side Manhattan, sejak tahun 2005 memberi khidmat merawat burung-burung yang sakit dan cedera sejak 2005.
Kebanyakan burung dibawa oleh orang yang baik hati seperti Snarski, kata Eugene Oda, seorang penjaga hidupan liar dan juruteknik veterinar yang memeriksa burung baharu yang perlukan rawatan.
Kash dipercayai lemah serta dalam kesakitan akibat patah tulang dan dehidrasi. Oda mengambil inisiatif untuk menjaga burung tersebut dan membawa ke rumahnya.
“Bila saya terdengar hal tersebut, saya tahu saya harus membawa Kash ke rumah,” kata Oda. “Saya harus memastikan burung jalak itu mendapat rawatan rapi.
Pasukan kakitangan dan sukarelawan merawat beratusan burung setiap hari, memberi makanan, perubatan, penjagaan dan pembersihan di kemudahan perubatan kecil itu.
“Ia merupakan musim anak burung dan ia adalah amat, amat susah untuk kami. Kami dapat lebih 50 ekor burung sehari. Ramai yang jumpa anak burung di atas tanah.
“Sekarang, saya percaya kami ada lebih kurang 350 ekor burung, dengan lebih 120 jenis," ujar Oda.
Rita McMahon, pengasas dan pengarah The Wild Bird Fund, memulakan organisasi ini di Upper West Side pada 2005. Setelah dibiayai melalui sumbangan, ia telah berpindah ke 565 Columbus Avenue pada 2012.
Ia adalah satu-satunya kemudahan seumpamanya di New York City dan Humane Society, ASPCA dan organisasi penyelamat haiwan lain yang membawa burung ke kemudahan ini untuk rawatan.
“Burung-burung boleh terdedah dalam bahaya di luar sana,” ujar Oda. “Ia merupakan tanggungjawab kita sebagai warga di bandar untuk menyelamatkan haiwan ini. Mereka cedera kerana kita semua dan kami akan buat terbaik."
Oda berkata, kemudahan itu sudah biasa menerima burung jalak, merpati dan burung pipit kerana lokasinya.
“Burung-burung ini merupakan burung bandar yang selalu cedera,” katanya.
Lokasi tersebut juga merupakan rumah kepada helang, burung murai, burung hantu, itik, angsa dan juga pelbagai jenis burung.
Sempena lawatan baru-baru ini, seekor ayam berkongsi tempat dengan seekor angsa putih bernama Willow yang dijumpai enam bulan lalu dalam kesakitan akibat radang dingin di Prospect Park Brooklyn.
Setelah sihat, haiwan seperti Willow akan dihantar ke tempat perlindungan di kawasan Tri-State. Hujung minggu ini, Willow akan dihantar ke pusat perlindungan Zeze di utara New York. Burung tempatan akan dilepaskan semula ke hutan selepas mereka sembuh.
Tentang Kash pula, Oda berkata, “Saya rasa dia akan pulih. Harap dia akan dilepaskan. Jika dia sembuh, saya berharap untuk menghubungi orang yang membawa burung itu.