Pusat membeli belah Rusia terbakar lagi, seorang terbunuh
Agensi
April 4, 2018 05:13 MYT
April 4, 2018 05:13 MYT
Selepas insiden kebakaran pusat membeli belah di Siberia yang meragut 64 nyawa, satu lagi kejadian kebakaran membabitkan pusat membeli belah berlaku di Moscow pada Rabu.
Menurut Ketua cawangan Kementerian Kecemasan Moscow Ilya Desinov kebakaran yang berlaku itu telah mengorbankan seorang pekerja gedung itu selain turut mencederakan enam anggota bomba.
Wanita itu dilaporkan sesak nafas selepas terperangkap dalam asap tebal ketika cuba menyelamatkan diri.
Pihak berkuasa masih menyiasat punca kebakaran namun api dikatakan bermula di tempat penyimpanan di tingkat atas pusat membeli belah berkenaan.
Kebakaran itu berlaku hanya seminggu selepas kebakaran di pusat membeli belah Siberia.
Sebelum ini, pihak berkuasa Rusia memberi jaminan akan meningkatkan tahap keselamatan di semua pusat membeli belah dan bangunan komersial.