#punishamuslimday' bertukar jadi 'hari menyatukan warga Islam di London' - Zaharah Othman

Syakirah Zulkifly
April 4, 2018 20:49 MYT
Menurut Zaharah, setakat ini tidak ada perkara yang buruk terjadi dan keadaan di sana masih terkawal seperti biasa. Foto - Sumber foto Zaharah Othman
Ancaman gerakan, ‘Punish A Muslim Day’ yang menggalakkan kekerasan terhadap orang Islam di United Kingdom dan Amerika Syarikat merupakan hari menyatupadukan masyarakat dan menguatkan semangat umat Islam di kedua-dua buah negara itu.
Itu sentimen seorang warga Malaysia, Zaharah Othman kerana bantuan dan sokongan yang dipamerkan oleh warga Islam di sana dalam membantu sesama sendiri.
Zaharah, 64 tahun ketika dihubungi Astro AWANI hari ini berkata kebanyakan di bandar raya itu memberi sokongan dan bantuan kepada umat Islam supaya tidak menjadi mangsa keganasan mana-mana pihak yang tidak berhati perut.
Menurutnya lagi, ada individu yang berbesar hati untuk menghantar dan menemani rakan-rakan seagama yang berada dalam ketakutan semalam.
“Ini sudah menjadi satu hari di mana menghimpunkan umat Islam dan juga orang-orang yang bukan Islam yang sememangnya membantah kempen itu,” tambahnya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
BACA: #punishamuslimday: Umat Islam di England dinasihat elak terpengaruh khabar angin
Zaharah yang sudah menetap di kota London selama 38 tahun berkata, kebanyakan masyarakat yang beragama Islam di negara itu tidak berasa takut dengan ugutan dan masih menjalankan rutin harian seperti biasa. Malah, penampilan mereka berhijab dan berjubah juga tidak berubah.
“Saya juga tidak takut dan disebabkan ramai orang Islam keluar seperti biasa, tiada yang berani melakukan tindakan yang tidak sepatutnya terhadap kami,” katanya lagi.
BACA: Dapat 25 'markah' jika tarik hijab, polis UK siasat kempen serang umat Islam
Selain itu, masalah diskriminasi agama tidak pernah berlaku di negara itu selain insiden serangan bom di London pada 7 Julai, 2005.
“Tiada masalah yang berlaku antara penganut pelbagai agama di sini malah negara ini (United Kingdom) adalah sebuah negara yang berbilang kaum.
“Kejadian serangan bom di London adalah insiden yang paling teruk setakat ini sehingga ada yang membaling tin bir semasa saya membuat liputan di sana tetapi itu adalah kerana mereka sedang marah,” jelasnya.
Namun, risalah dan surat yang mempromosikan ancaman keganasan itu adalah hanya untuk menakutkan orang Islam supaya rasa terancam dan menyekat pergerakan mereka.
“Kebanyakan mereka menerima risalah itu melalui aplikasi mesej ringkas WhatsApp dan bukan diedarkan dari rumah ke rumah seperti yang dikatakan,” kata Zaharah.

Wisma Putra dalam satu kenyataan semalam turut menegaskan, pihak berkuasa tempatan sedang menyiasat ancaman berkenaan dan bersedia untuk mengambil tindakan sekiranya umat Islam diancam.

#Astro Awani #Islam #Islamophobia #London #mangsa #Punish a muslim day #serangan #terorisme #WhatsApp
;