Pungutan suara Scotland: Obama seru Britain 'bersatu'
Astro Awani
September 18, 2014 08:21 MYT
September 18, 2014 08:21 MYT
Presiden Amerika Syarikat Barack Obama menyeru Britain untuk kekal "kuat, teguh dan bersatu”, sehari menjelang pungutan suara Scotland yang akan menentukan sama ada ia akan kekal menjadi sebahagian daripada United Kingdom ataupun sebuah negara yang bebas merdeka.
Walaupun Amerika Syarikat tidak menyatakan secara terus untuk mahu penyatuan dikekalkan kerana tidak ingin dituduh sebagai mengganggu proses tersebut, ia jelas tidak mahu sekutu kuatnya berpecah.
“UK merupakan rakan luar biasa untuk Amerika dan satu kuasa yang baik untuk dunia yang tidak stabil,” kata Obama dalam satu tweet dari akaun rasminya.
“Saya berharap ia akan kekal kuat, kukuh dan bersatu,” tambah Obama.
Kenyataan tersebut ditandatangani oleh “bo” – singkatan yang digunakan oleh White House bagi menandakan mesej Twitter itu ditulis secara peribadi oleh presiden dan bukannya dari pasukan akhbar beliau.
Amerika Syarikat dan United Kingdom adalah sekutu rapat sejak Perang Dunia dan Perang Dingin.
Washington bimbang pengaruh sekutunya akan menjadi lemah di Eropah dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu jika Scotland mengundi untuk meninggalkan Britain, dan justeru melemahkan juga perikatan tentera Nato antara kedua-dua negara.
Kira-kira 4.3 juta rakyat Scotland akan mengundi dalam pungutan suara pada Khamis untuk menentukan sama ada kesatuannnya bersama United Kingdom selama 300 tahun akan berakhir.
Bil Referendum Kemerdekaan Scotland diperkenalkan pada 21 Mac 2013 dan seterusnya mendapat kelulusan Perlembagaan Diraja Britain pada Disember 2013.
Semua pihak diberikan tempoh selama 9 bulan untuk berkempen sama ada ‘Yes’ atau ‘No’ kepada kemerdekaan Scotland.