Puluhan terbunuh selepas Israel tingkatkan serangan udara di Gaza Utara

Bernama
Oktober 6, 2024 06:30 MYT
Rakyat Palestin mengusung mayat seorang mangsa yang ditemui di bawah runtuhan sebuah masjid yang musnah selepas serangan udara Israel di Deir al-Balah, pada Ahad. - Gambar AP
GAZA: Israel melancarkan serangan udara di seluruh utara Gaza pada Ahad, yang disifatkan penduduk tempatan sebagai pengeboman paling intensif sejak Oktober 2023, lapor Xinhua.
Pertahanan Awam Gaza dalam satu kenyataan berkata, puluhan orang terbunuh atau cedera dan terperangkap di bawah runtuhan rumah yang terkena serangan Israel.
Serangan itu tertumpu di kawasan timur Jabalia, Tel al-Zaatar dan berhampiran Hospital Indonesia, menurut Pertahanan Awam, yang menambah bahawa pasukannya tidak dapat membantu ramai mangsa dalam serangan semalaman itu.
Saksi melaporkan bahawa kenderaan artileri turut melepaskan tembakan kawasan barat laut Gaza utara.
"Pesawat dan artileri Israel melaksanakan pengeboman intensif di kebanyakan kawasan kem perlindungan sejak malam tadi," kata Basem al-Masri, penduduk Kem Jabalia kepada Xinhua.
Dia berkata, intensiti itu mengingatkannya pada minggu-minggu awal serangan.
Tentera Israel berkata, pihaknya telah "menyelesaikan pengepungan kawasan Jabalia" dalam usaha menghalang Hamas daripada membina semula infrastrukturnya.
Jurucakap tentera, Avichay Adraee, menyiarkan peta yang menunjukkan dua laluan pemindahan dari utara Gaza ke selatan, dan menggesa penduduk untuk berpindah.
Bagaimanapun, beberapa penduduk, seperti al-Masri enggan mematuhi arahan pemindahan. Shukri Omran, yang melarikan diri dari Jabalia ke kem pelarian Shati, berkata: "Kami tidak akan meninggalkan utara Gaza."
Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan pada Ahad bahawa jumlah kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel di Gaza sejak 7 Okt 2023 telah mencecah 41,870 orang. - BERNAMA
#Perang Palestin-Israel #israel serang gaza #serangan udara #Benjamin Netanyahu
;