Puluhan terbunuh dalam serangan bersenjata di kelab hiburan Istanbul

Agensi
Januari 1, 2017 10:43 MYT
Pasukan polis mengawal keadaan di lokasi kejadian sekitar kelab Reina. - Foto Reuters
Sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh manakala lebih 40 lagi cedera apabila seorang penyerang bersenjata melepaskan tembakan rambang di sebuah kelab hiburan di Istanbul ketika pengunjung sibuk meraikan sambutan tahun baharu.
Penyerang itu pada awalnya menembak seorang anggota polis dan seorang mangsa lain di pintu masuk kelab Reina, sebelum memasukinya lantas melepaskan tembakan seterusnya.
Kelab tersebut terletak di pesisiran Selat Bosphorus di daerah Ortakoy, iaitu sebuah kawasan kosmopolitan yang banyak menempatkan kelab hiburan, restoran dan galeri seni.
“Seorang pengganas dengan senjata laras panjang menembakkan peluru ke arah orang yang tidak bersalah, yang berada di situ cuma untuk menyambut kedatangan tahun baharu serta bergembira,” ujar Gabenor istambul Vasip Sahin.
Kira-kira 500 hingga 600 orang dianggarkan berada di dalam kelab tersebut sewaktu insiden berlaku pada jam 1.15 pagi waktu tempatan.
Terdapat juga pengunjung kelab yang cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam air Selat Bosphorus, sebelum diselamatkan pihak polis.
Puluhan ambulans dan kenderaan polis digegaskan ke kelab tersebut.
Reina merupakan antara kelab hiburan paling popular di Istanbul dalam kalangan orang tempatan dan juga pelancong asing.
Turki sejak beberapa bulan lalu berdepan dengan siri ancaman keselamatan yang dilaporkan berpunca daripada kumpulan militan Daish dan juga Kurd.
#kelab Reina #penyerang bersenjata #Selat Bosphorus #serangan Istanbul
;