Puluhan rakyat Palestin diseksa, kebuluran semasa dalam tahanan Israel
Agensi
Februari 2, 2025 08:00 MYT
Februari 2, 2025 08:00 MYT
GAZA: Puluhan rakyat Palestin yang dibebaskan dari penjara Israel pada Sabtu menunjukkan tanda-tanda mereka melalui penyeksaan dan kebuluran sepanjang dalam tahanan.
Dibebaskan pada Sabtu, kesemua 183 rakyat Palestin itu merupakan sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel.
Kesemua mereka keluar dari penjara dengan memakai pakaian seragam penjara berwarna kelabu yang kotor, menampilkan kesan daripada tempoh penahanan bertahun-tahun.
Beberapa daripada mereka kelihatan letih dan lemah ketika berjalan dari bas ke Hospital Eropah di Khan Younis, Gaza, sebelum disambut oleh orang ramai dan bertemu semula dengan keluarga mereka.
"Setiap kali tahanan dibebaskan, kami melihat tubuh mereka mencerminkan tahap jenayah yang dilakukan terhadap mereka, termasuk penyeksaan yang belum pernah terjadi sebelum ini selepas 7 Oktober, jenayah kebuluran, pengabaian perubatan secara sistematik, serta jangkitan penyakit seperti kudis.
“Selain itu, mereka juga dipukul teruk sebelum dibebaskan yang berlanjutan selama beberapa hari menurut banyak testimoni dan dalam beberapa kes menyebabkan patah tulang rusuk," kata organisasi itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
"Persatuan Banduan Palestin sekali lagi mengesahkan pendudukan Israel mengamalkan keganasan terancang terhadap tahanan yang dibebaskan dan keluarga mereka melalui pelbagai cara yang telah direkodkan, antaranya adalah dipukul teruk serta ancaman bunuh sekiranya ada majlis sambutan atau tanda kegembiraan ditunjukkan oleh keluarga mereka."
Seorang tahanan yang dibebaskan berkata: "Selama 15 bulan lalu, kami mengalami penyeksaan yang paling kejam … Israel melayan kami dengan cara yang tidak berperikemanusiaan. Mereka melayan haiwan lebih baik daripada kami."
Dalam temu bual bersama Al Jazeera, kakitangan Palang Merah melahirkan kemarahan terhadap cara Perkhidmatan Penjara Israel menangani tahanan yang dibebaskan dari Penjara Ketziot pada Sabtu.
Menurut Hamas, "penderaan dan penyeksaan" yang dialami oleh tahanan Palestin membuktikan "kezaliman yang mereka hadapi" di dalam penjara Israel.
Dalam satu kenyataan, kumpulan itu juga menegaskan, sayap bersenjatanya, Briged al-Qassam, tidak mengabaikan penjagaan kesihatan terhadap tahanan Israel meskipun dalam keadaan sukar di Gaza, termasuk serangan udara Israel yang telah mengorbankan lebih 47,000 orang sejak Oktober 2023.
"Keadaan fizikal dan psikologi yang baik bagi tahanan musuh membuktikan nilai moral perjuangan kami dalam menjaga mereka, sedangkan pendudukan jenayah Israel melakukan pelanggaran hak asasi paling keji terhadap tahanan kami di dalam penjara," kata kumpulan itu.
Sumber memberitahu Al Jazeera, seorang tahanan Palestin, Hussam Shahin, akan dipindahkan ke hospital selepas menjalani pembedahan tanpa bius ketika dalam penjara.
Di bawah syarat perjanjian gencatan senjata, 33 tahanan Israel yang ditahan oleh Hamas di Gaza akan dibebaskan dalam tempoh enam minggu pertama sebagai pertukaran dengan ratusan rakyat Palestin, kebanyakan mereka sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup di Israel. - Al Jazeera