Puluhan paus mati terdampar di pantai Iceland
Agensi
Julai 21, 2019 11:50 MYT
Julai 21, 2019 11:50 MYT
Puluhan ekor paus jenis pilot (Globicephala) ditemui mati terdampar di sebuah pantai terpencil di Iceland.
Menurut seorang juruterbang yang memandu helikopter daripada agensi pelancongan Reykjavík Helicopters, David Schwarzhans, dia bersama sekumpulan pelancong sebelum itu terbang di sekitar kawasan berkenaan untuk bersiar-siar.
“Saya dan penumpang lain mengira jumlah paus yang terdampar dan dalam perkiraan kami, terdapat sejumlah 50 paus pilot yang terdampar di sepanjang pantai.
“Mungkin jumlahnya lebih banyak. Beberapa ekor sudah terkubur secara sendiri di dalam pasir. Pemandangan itu amat menyedihkan,” katanya kepada ABC, pada Ahad.
Difahamkan, kumpulan paus itu berenang ke darat dan kemudiannya mati akibat dehidrasi.
Mamalia marin itu memang kerap ditemui terdampar dalam jumlah yang besar tanpa diketahui sebabnya dengan jelas.
Sementara itu, pakar biologi, Edda Elisabet Magnusdottir berkata, haiwan berkenaan mungkin menjadi keliru saat memasuki perairan yang dekat dengan kawasan darat.
“Ia menggunakan lontaran frekuensi bunyi untuk tujuan tunjuk arah, selain digunakan untuk bertemu antara satu sama lain dan hal-hal lain,” kata Edda.
Disebabkan dasar pantai tempat paus-paus itu terdampar berpasir, ia tidak mampu untuk bertahan lama, kata Edda.
Ia sekali gus menyebabkan mamalia berkenaan keliru dan gagal untuk berenang kembali ke laut dalam.
Paus pilot merupakan mamalia yang tergolong dalam spesies ikan lumba-lumba dan memiliki saiz yang lebih besar daripada paus pembunuh.
Haiwan itu boleh ditemui hampir di seluruh dunia dengan populasi terbesar di Lautan Atlantik Utara di sekitar Kanada, Greenland dan Norway.