Puluhan maut, lebih 300 cedera dalam serangan di Kabul
Agensi
April 19, 2016 18:00 MYT
April 19, 2016 18:00 MYT
Sekurang-kurangnya 28 maut dan lebih 300 lagi cedera dalam serangan yang melibatkan bom yang dipasang pada lori dan diikuti insiden tembak-menembak pada Selasa.
AFP melaporkan, insiden itu berlaku seminggu selepas puak pemberontak itu melancarkan serangan tahunan pada musim bunga.
Pihak Taliban mengaku bertanggungjawab dalam kejadian serangan berdekatan pejabat-pejabat kerajaan itu, dengan kesan kemusnahannya menghasilkan kepulan asal yang dapat dilihat dari jarak beberapa kilometer.
Serangan yang dilakukan di kejiranan padat didiami penduduk itu merupakan serangan besar pertama Taliban di ibu negara tersebut sejak musim pertempuran bermula.
“Angka kematian terbaru menunjukkan sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh manakala 327 orang lagi cedera. Kebanyakan daripadanya ialah orang awam dan keadaan mereka parah,” ujar jurucakap Kementerioan Kesihatan Mohammad Ismail Kawoosi.
Pegawai keselamatan berkata, ledakan yang kuat datangnya daripada bom lori, sekali gus meningkatkan kebimbangan tentang kemungkinan kewujudan pengebom lain.
Kementerian Dalam Negeri mengecam serangan yang disifatkan sebagai jenayah perang itu, dan berikrar akan memburu pelakunya.
Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid mendakwa pejuang mereka berjaya memasuki pejabat Direktorat Keselamatan Nasional yang merupakan agenso perisikan utama.
Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan pegawai tertinggi kerajaan.