Puluhan lagi terbunuh pada hari ke-106 serangan Israel ke atas Gaza
Bernama
Januari 20, 2024 18:30 MYT
Januari 20, 2024 18:30 MYT
GAZA: Puluhan lagi rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam serangan Israel di beberapa kawasan di Gaza yang kini memasuki hari ke-106.
Sejumlah kediaman, bangunan, pangsapuri, harta awam dan persendirian musnah serta rosak akibat serangan berterusan, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Rejim Israel meletupkan beberapa rumah di bandar Al-Qarara, timur laut Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza, mengakibatkan beberapa penduduk terbunuh dan beberapa lagi cedera.
Pesawat perang Israel melancarkan serangan udara di kawasan Bani Suhaila, Al-Zana, Abasan dan Batn Al-Sameen.
Pencerobohan Israel ke atas Gaza sejak 7 Okt telah meragut sekurang-kurangnya 24,760 nyawa manakala lebih 62,100 cedera dan ribuan lagi gagal dikesan.
-- BERNAMA