Puluhan ditahan di Perancis disyaki 'sabotaj' Olimpik Paris

Bernama
Julai 29, 2024 14:08 MYT
Berpuluh-puluh orang telah ditahan di Perancis dipercayai merancang untuk mengganggu kelancaran penganjuran Sukan Olimpik. - Foto AP
PARIS: Berpuluh-puluh orang telah ditahan di Perancis dipercayai merancang untuk mengganggu kelancaran penganjuran Sukan Olimpik, kata Menteri Dalam Negeri Gerald Darmanin pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Darmanin berkata pasukan keselamatan telah menahan hampir 50 orang setakat ini.
"Mereka disyaki merancang untuk melakukan "tindakan sabotaj atau protes radikal" semasa acara pembukaan Olimpik, tetapi pihak berkuasa berjaya menghalangnya," katanya kepada saluran televisyen France 2.
Darmanin juga memberitahu France 2 bahawa pejabatnya mempunyai gambaran yang lebih jelas mengenai individu yang mungkin mendalangi serangan ke atas rangkaian rel kereta api di negara itu.
"Kami telah mengenal pasti beberapa profil individu yang mungkin telah melakukan tindakan sabotaj yang sangat disengajakan dan disasarkan dengan teliti," katanya.
Akhbar Le Parisien melaporkan bahawa 45 anggota gerakan radikal alam sekitar, Extinction Rebellion telah ditahan. Mereka telah merancang tindakan untuk membantah akibat sosial dan ekologi Sukan Olimpik.
Menurut laporan akhbar Le Figaro, seorang aktivis berhaluan kiri ditahan pada Ahad di Oissel, kira-kira 121 kilometer barat laut Paris.
Lelaki itu ditahan di lokasi kereta api nasional Perancis atau SNCF dan pihak berkuasa menemukan "kunci akses ke premis teknikal SNCF" selain "pemotong wayar dan satu set kunci universal" dalam kenderaannya selain bahan bacaan yang berkaitan dengan 'ultra-kiri'.
Bagaimanapun, pejabat pendakwa raya Paris berkata penahanan itu tiada kaitan dengan siasatan mengenai serangan khianat menggunakan api yang mengganggu trafik pada Jumaat beberapa jam sebelum majlis pembukaan Olimpik.
Kata pejabat itu, tiada tangkapan dibuat setakat ini berhubung kejadian berkenaan.
-- BERNAMA
#ditahan #Perancis #sabotaj #olimpik paris 2024