Puluhan cedera dalam insiden enjin bot meletup di Bangkok

AFP
Mac 5, 2016 10:45 MYT
Bot malang itu sedang menuju ke terusan Saen Saeb, yang merentasi pusat bandaraya itu dan menghubungkan Sungai Chao Phraya. - Gambar Fail AFP
Sekurang-kurangnya 50 orang cedera pada Sabtu selepas sebuah enjin bot yang sedang membawa penumpang di salah sebuah laluan air meletup di timur bandaraya Bangkok, Thailand.
Ketika kejadian, bot terbabit sedang sarat dengan penumpang yang bergegas di waktu puncak untuk menuju ke destinasi di pinggir bandaraya itu.
“Sehingga sekarang, 50 orang dilaporkan cedera manakala lima lagi telah dihantar ke hospital, dua darinya cedera parah,” maklum seorang pegawai dari Kementerian Dalam Negeri kepada agensi berita AFP.
Pusat Rawatan Kecemasan Erawan di Bangkok turut mengesahkan angka kecederaan namun tidak mendedahkan bentuk kecederaan dialami.
Imej yang ditunjukkan oleh pihak polis memaparkan bot terbabit rosak teruk namun masih tidah musnah sepenuhnya dari kesan letupan.
Menurut jurucakap polis Komander Sarayuth Junnawat, letupan dipercayai berpunca dari kebocoran minyak.
Bot malang itu sedang menuju ke terusan Saen Saeb, yang merentasi pusat bandaraya itu dan menghubungkan Sungai Chao Phraya.
#Bangkok #bot meletup #Erawan #Thailand
;