PUIC perlu tabung bencana khas bantu negara Islam - Reezal
Astro Awani
Januari 21, 2015 23:40 MYT
Januari 21, 2015 23:40 MYT
Satu tabung bencana khas perlu diwujud Parlimen Negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (PUIC) untuk memberi bantuan khusus kepada mangsa tragedi terutama di negara-negara Islam seluruh dunia.
Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ia sekali gus menjadikan peranan PUIC dilihat lebih menyerlah dan membuka mata negara-negara Islam yang mungkin mempunyai persepsi berlainan sebelum ini mengenai isu bantuan.
"PUIC lebih signifikan dan relevan dalam menghulurkan bantuan kepada umat Islam yang ditimpa bencana.
"Ini kerana apabila berlakunya bencana banjir seperti di Chad, badan yang pertama menghulurkan bantuan adalah Kesatuan Negara Eropah (EUC).
"Malah ketika bencana banjir yang melanda Malaysia baru-baru ini, kerajaan China merupakan antara negara terawal memberikan bantuan, sedangkan China bukanlah di kalangan negara Islam,’’ katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Reezal mencadangkan tabung bencana diwujudkan semasa mewakili negara pada perjumpaan PUIC di Istanbul - Sumber gambar Reezal
Usul tabung bencana itu dicadangkan Reezal semasa mewakili negara ketika menghadiri Mesyuarat Pengkhususan Pendirian Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan Persekitaran ketiga PUIC di Istanbul.
Dalam pada itu jelas Reezal, PUIC turut dicadang untuk diperkenalkan sistem 'matriks' bagi memantau tahap kejayaan sesuatu resolusi yang telah dipersetujui di kalangan Negara anggota.
Ketika menyentuh isu minyak, Reezal memberitahu, PUIC harus memberi perhatian kepada kejatuhan harga bahan mentah itu di peringkat global yang mengakibatkan hutang luar negeri bagi negara pengeluar sumber berkenaan melonjak.
"Kini berlaku kejatuhan harga minyak yang mendadak di beberapa buah negara dari dolar Amerika Syarikat (AS)100 untuk satu tong kepada AS40 setong.
"Majoriti negara pengeluar minyak adalah negara Islam. Ini telah mengakibatkan kejatuhan ekonomi mereka sekali gus menjadi penyumbang kepada hutang luar negeri di kalangan negara berkenaan di kala dolar AS semakin meningkat.
"Perkembangan ini tidak sihat dan perlu dijadikan resolusi PUIC untuk diambil tindakan sewajarnya,’’ katanya.