PUBG diharam di India, Akshay Kumar jalin kerjasama lancar versi sendiri
Astro Awani
September 6, 2020 19:31 MYT
September 6, 2020 19:31 MYT
Sebuah syarikat pembangun permainan mudah alih dengan kerjasama bintang Bollywood terkenal, Akshay Kumar, bakal melancarkan Fearless and United: Guards (FAU:G) sebagai alternatif kepada permainan dalam talian Tencent PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG) Mobile yang diharamkan di negara itu.
Reuters yang memetik pengasas bersama nCore Games, Vishal Gondal sebagai berkata, permainan dalam talian itu dijangka memasuki pasaran India menjelang akhir bulan depan.
Katanya, pada peringkat awal, aplikasi permainan yang menyemarakan patriotisme itu akan 'diabadikan' berdasarkan kawasan sempadan pertikaian India-China di Lembah Galwan, Ladakh.
Pada Julai lalu, China menarik balik pasukan tenteranya di kawasan sempadan itu selepas pertempuran antara dua negara yang meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa tentera India.
Ekoran itu, India mengharamkan 118 aplikasi China termasuk PUBG dan perkhidmatan lain ditawarkan oleh gergasi internet China, Tencent. berikutan ketegangan di sempadan antara dua kuasa besar itu.
FAU:G yang membawa maksud 'askar' antara lain adalah bertujuan untuk menyemarakkan semangat patotik dalam kalangan pengguna permainan itu.
Gondal memberitahu, 20 peratus daripada hasil jualan permainan itu akan disumbangkan kepada ahli keluarga tentera yang meninggal dunia ketika sedang berkhidmat.
"Kemunculan Akshay Kumar yang juga anak kepada seorang pegawai tentera itu diyakini akan memberi nilai tambah dalam meningkatkan lagi keyakinan selain membantu konsep asas permainan dalam talian itu.
"Sebenarnya, nama permainan itu dicadangkan oleh Akshay Kumar sendiri," katanya yang menjangkakan lebih 200 juta pengguna akan menggunakan permainan itu dalam setahun.