Puasa 60 minit di Murmansk
Sinar Harian
Mac 19, 2025 09:45 MYT
Mac 19, 2025 09:45 MYT
Tangkapan layar yang dikongsikan Satria di akaun media sosial miliknya.
MURMANSK: Nampak pelik, tetapi benar, tempoh berpuasa di kota ini hanya berlangsung selama 60 minit.
Pengalaman berpuasa dalam jangka masa paling singkat itu dikongsikan oleh seorang warga Indonesia, Lalu Satria Malaca, yang menetap di Murmansk, Rusia, berhampiran Kutub Utara.
Satria, yang bekerja sebagai pemandu pelancong, menjelaskan bahawa tempoh puasa sejam itu berlaku ketika musim sejuk, disebabkan fenomena polar night, iaitu keadaan di mana matahari tidak terbit dalam tempoh tertentu.
"Ketika polar night, matahari langsung tidak kelihatan. Pada jam 11 atau 12 tengah hari, keadaan masih gelap. Akibatnya, jarak masa antara waktu Subuh dan Maghrib hanya kira-kira sejam," katanya.
Beliau turut mengajak para pelancong untuk merasai pengalaman unik berpuasa di Murmansk.
Menurutnya, keadaan berbeza ketika musim panas, terutamanya pada bulan Julai, apabila matahari hampir tidak pernah terbenam.
Ini menyebabkan tempoh berpuasa menjadi lebih panjang, mencecah 23 jam sehari.
Fenomena ini bukan sahaja berlaku di Murmansk, tetapi juga di bandar-bandar dalam lingkaran Kutub Utara seperti Tromsø di Norway, Lapland di Finland, Iceland, dan Alaska di Amerika Syarikat (AS).
"Waktu ibadah di sini berubah setiap hari bergantung kepada kedudukan matahari," jelasnya.
Beliau menambah bahawa untuk beberapa tahun akan datang, Ramadan akan jatuh pada bulan Disember, menjadikan tempoh puasa tetap pendek.
Perkongsian unik Satria yang dimuat naik di Instagram pada Disember lalu telah meraih lebih 7.4 juta tontonan dan lebih 500,000 tanda suka sehingga kini. – Sinar Harian memetik agensi