Puak penentang sokong rancangan serang Syria
Astro Awani
September 11, 2013 13:47 MYT
September 11, 2013 13:47 MYT
Puak penentang Syria memperbaharui sokongan mereka terhadap rancangan Amerika Syarikat melaksanakan tindakan ketenteraan ke atas rejim Presiden Bashar Al-Assad.
Mereka menyifatkan tindakan menyerang Syria adalah antara langkah untuk menamatkan konflik perang di negara itu.
Menurut jurucakap itu lagi puak penentang telah sepakat mengenai sokongan terhadap melancarkan serangan ke atas rejim Bashar.
Sekumpulan anggota Kongres White House sedang merangka penyelesaian bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memindahkan senjata kimia di negara bergolak itu.
Menteri Luar Syria, Walid Al-Muallem memberitahu kerajaan negaranya telah menerima saranan Rusia agar menyerahkan gudang senjata kimianya ke badan pengendali antarabangsa.
Setiauasaha negara Amerika, John Kerry pula menyatakan White House tidak akan menunggu lama untuk menunggu perincian mengenai saranan Rusia itu.
Kerry dijadual bertemu Menteri Luar Rusia di Geneva pada Khamis bagi membincangkan konflik Syria itu.
Sementara itu, Presiden Vladimir Putin menyatakan rancangan supaya Syria menyerahkan senjata kimianya hanya akan berjaya sekiranya Amerika bersetuju untuk tidak mengambil tindakan ketenteraan.
Dalam satu sidang media, Putin berkata dunia perlu juga mengetahui suara rakyat Amerika yang menentang rancangan Obama itu.
Adalah sukar bagi sesebuah negara melaksanakan pelucutan senjata berdasarkan pengaruh sebelah pihak jelasnya lagi.
Sebelum itu Menteri Luar Rusia, Sergey Lavroy memberitahu rakan sejawatnya dari Perancis, Laurent Fabius bahawa resolusi bab tujuh di bawah piagam PBB yang membenarkan penggunaan senjata tidak boleh diterima pakai.
Pentadbiran Obama sebelum ini menyalahkan rejim Bashar bertanggungjawab ke atas serangan kimia di pinggir bandar Damsyik 21 Ogos lalu yang mengorbankan lebih 1400 rakyatnya.